Seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah dalam kejadian di Wakaf Tapai di Marang, hari ini.
Mangsa, Fong Swee Fuan, 65, yang juga bekas Ketua MCA Bahagian Marang cedera di dada dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala, anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45, turut cedera di dada dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada 2 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke arah kedua mangsa.
"Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek didakwa mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.
"Suspek yang melarikan diri dengan menaiki sebuah jip berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun pada 4.20 petang tadi.
"Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua mangsa," kata Rohaimi ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut beliau, sebelum kejadian itu, kedua mangsa bersama suspek dikatakan berada di kawasan rehat di kawasan perumahan berkenaan. Siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan sama.
Katanya, motif sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. Polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Kuala Terengganu untuk bedah siasat manakala anak saudaranya yang cedera dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.
EmoticonEmoticon