Khamis, 29 Julai 2021

Kerana Pakai Seluar Jeans Gadis Dibelasah Keluarga Sendiri Sampai Mati


Hanya kerana memakai seluar jeans ketika menghadiri upacara keagamaan, seorang gadis berusia 17 tahun dipukul sehingga maut oleh ahli keluarganya sendiri di Uttar Pradesh, India, lapor akhbar BBC News pada 26 Julai 2021.


Mangsa, Neha Paswan, dipukul dengan tongkat oleh datuk dan bapa saudaranya selepas bertengkar mengenai cara pemakaian gadis itu. Menurut ibunya, Shakuntala Devi Paswan, Neha sebelum itu berpuasa di waktu siang dalam satu amalan keagamaan.


"Pada waktu malam, dia memakai seluar jeans beserta baju T dan menjalani ritual keagamaan seperti biasa. Apabila datuk dan neneknya memarahi dia kerana memakai pakaian tersebut, Neha menjawab bahawa seluar jeans dibuat untuk dipakai," katanya.


Beberapa ahli keluarga yang lebih tua turut membantah pemakaian gadis itu kerana ia dilihat sebagai pakaian barat yang tidak sopan selain menyuruh Neha memakai pakaian tradisional. Pertelingkahan tersebut berlarutan sehingga membawa kepada keganasan.


Kata Shakuntala, Neha dipukul sehingga tidak sedarkan diri, kemudiannya dibawa ke hospital oleh kaum lelaki dan ahli keluarga yang lain melarangnya daripada mengikuti mereka.


"Mereka tidak membenarkan saya menemani Neha, jadi saya meminta beberapa saudara untuk mencari Neha di hospital namun dia gagal ditemui," ujarnya.


Pada keesokan paginya, Shakuntala mendengar berita bahawa terdapat mayat seorang gadis ditemui tergantung dari sebuah jambatan di sungai berdekatan, dan apabila disiasat, ia merupakan mayat Neha.


Susulan itu, satu kes pembunuhan dan pemusnahan bukti telah dibuat terhadap 10 individu, dan tertuduh adalah termasuk datuk dan nenek Neha, beberapa bapa saudara dan ibu saudara, sepupu serta pemandu teksi auto.


Bapa Neha, Amarnath Paswan ketika kejadian tiada di rumah kerana bekerja sebagai buruh binaan di bandar Ludhiana.


Shakuntala Devi Paswan (kanan) masih berusaha memahami mengapa mereka membunuh anak perempuannya hanya kerana memakai seluar jeans.


EmoticonEmoticon