Ahad, 18 Julai 2021

Burung Helang 'Harpy' Terbesar Di Dunia Diancam Masalah Kepupusan


Kerana rupanya yang unik, burung helang Harpy mendapat tempat di hati netizen dan sangat popular di internet sehingga sering menjadi topik perbualan, malah gambar helang ini juga tidak pernah gagal membuat orang ramai kagum.


Helang Harpy lebih suka tinggal di hutan hujan tropika dataran rendah. Spesies burung helang yang besar ini memerlukan pokok-pokok besar dan kawasan hutan yang luas supaya senang mencari makanan sekali gus jumlahnya berkembang.


Burung Helang Harpy adalah antara burung pemangsa yang terbesar di dunia. Helang Harpy biasanya ditemui di kawasan hutan dari Mexico melalui Amerika Tengah sehingga ke utara Argentina di Amerika Selatan.


Kelebaran sayapnya boleh mencecah sehingga 7 kaki 4 inci, dan beratnya boleh mencapai sehingga 10 kilogram. Helang Harpy membina sarangnya tinggi di atas pokok-pokok tertinggi di hutan, dan biasanya memakan haiwan yang tinggal di atas pokok seperti monyet, sloth, iguana atau ular.


Cara burung ini membuat sarang dengan menggunakan beratus-ratus kayu dan ranting serta tumbuh tumbuhan dan bulu haiwan. Sarangnya akan dibina cukup besar kerana saiznya yang agak besar.



Menurut lapor BBC News pada 6 Julai 2021 lalu, helang Harpy hampir 90 peratus populasinya tinggal di hutan Amazon kini diancam masalah kepupusan, berikutan tidak dapat mencari makanan kerana penebangan hutan secara besar-besaran.


Ahli konservasi mengatakan bahawa helang itu mempunyai peluang 'hampir sifar' untuk bertahan hidup disebabkan penebangan hutan di Amazon. Menurut kajian terbaru, burung itu berjuang untuk memberi makanan pada anak-anaknya di beberapa kawasan hutan hujan yang telah ditebang.


Kira-kira 17 peratus hutan Amazon telah musnah dalam 50 tahun kebelakangan ini, dan kerosakan telah meningkat dalam beberapa tahun terakhir. Amazon dianggap sebagai 'rumah terakhir' untuk helang Harpy.


Penyelidik Carlos Peres, profesor sains alam sekitar di University of East Anglia, UK berkata, selain keluasan hutan yang semakin mengecil, aktiviti pemburuan haram turut menambahkan tekanan terhadap burung helang ini untuk meneruskan kelangsungan hidup.


Walaupun terdapat perlindungan undang-undang di beberapa negara, termasuk Brazil, Panama dan Suriname, perlindungan sukar dilaksanakan di kawasan hutan terpencil.


Kadar kemusnahan hutan hujan Amazon dilaporkan terus meningkat. Gelombang haba melampau mengakibatkan hutan ini terbakar antara satu faktor penyebabnya.

Burung helang Harpy adalah antara burung pemangsa terbesar di dunia kini diancam masalah kepupusan.


EmoticonEmoticon