Walaupun kisah burung hantu ini kedengaran pelik tetapi itulah yang berlaku dalam satu kejadian di Afrika Selatan beberapa tahun lalu. Seekor burung hantu membalas budi dengan membawa pulang 'hadiah' pada manusia yang pernah menyelamatkannya.
Kisah ini bermula dalam satu insiden yang berlaku di Afrika Selatan pada tahun 2011, seorang lelaki telah menemui seekor burung hantu dalam keadaan cedera. Sebagai seorang pencinta haiwan, sudah tentu lelaki ini akan membawa pulang burung yang cedera itu untuk mendapatkan rawatan asas.
Lelaki ini telah menjaga burung hantu itu di rumahnya selama dua bulan dan dalam tempoh itu, perhubungan di antara kedua-duanya menjadi akrab. Malah, burung hantu ini turut berkawan baik dengan haiwan peliharaan lain di rumah berkenaan iaitu kucing dan juga burung.
Setelah kesihatannya beransur pulih, burung hantu ini telah dibebaskan ke habitat asalnya. Namun, meskipun berjauhan, haiwan ini nampaknya langsung tidak melupakan jasa dan budi baik lelaki yang pernah merawatnya itu.
Buktinya, setiap hari selama empat tahun berturut-turut burung ini akan membawa pulang pelbagai jenis 'buah tangan' dari alam semulajadi sebagai tanda penghargaan kepada lelaki yang telah menyelamatkannya.
Antara 'hadiah' yang seringkali dibawa bersama adalah tikus dan juga anak ular. Adakalanya, burung hantu ini akan tunggu lelaki berkenaan terjaga dari tidur sambil menggigit tikus tersebut.
Burung hantu ini juga akan berkongsi hadiah berkenaan dengan rakan-rakannya iaitu si burung dan si kucing. Mungkin yang lain senang hati menerima hadiah pemberian burung hantu itu tetapi walau apa pun, hati burung hantu ini benar-benar baik dan suci.
Menurut kajian, burung hantu dikenali dengan sifat setia atau merupakan haiwan yang bersifat monogami. Mungkin sebab itu, burung hantu ini cuba membalas budi baik lelaki yang pernah merawatnya dan dianggap sebagai 'keluarganya'. - Sumber Era Baru.
EmoticonEmoticon