Bilionair yang baru pulang daripada melancong ke angkasa lepas pada 11 Julai lalu, Sir Richard Branson kini berhasrat mahu membina sebuah hotel penginapan di Bulan, lapor akhbar Daily Mail pada 14 Julai 2021, kelmarin.
Pelopor pelancongan angkasa lepas itu berkata, lebih banyak penerokaan ke angkasa lepas bersama Virgin Galactic di masa akan datang. Ketika ini, kos bagi satu tiket penerbangan ke sempadan angkasa lepas dengan Virgin Galactic dianggarkan bernilai AS$250,000 (RM1.05 juta).
Branson berharap kewujudan lebih banyak roket dan kapal angkasa di masa hadapan akan mengurangkan kos penerbangan ke angkasa lepas. Bercakap mengenai impian lain Branson, lelaki itu berkata beliau mahu membina hotel di Bulan sebagai impian besar baharunya.
"Sama ada saya sendiri akan terlibat secara langsung dalam pembinaan hotel di Bulan atau saya serahkan kepada anak-anak saya untuk melakukannya, ia bergantung kepada keadaan.
"Ia kedengaran seperti impian yang mengarut tetapi perkara sama dikatakan tentang pelancongan angkasa lepas dan saya baru sahaja melakukannya," kata Branson.
Penerbangan tersebut bertujuan untuk mempromosikan Virgin Galactic yang sudah memperoleh lebih daripada 600 tempahan dari 60 negara untuk pelancongan ke angkasa lepas. Matlamat utamanya adalah untuk membuat 400 penerbangan setahun.
Terdahulu, usahawan terkenal itu menjadi bilionair pertama yang terbang ke angkasa lepas dengan roket Virgin Galactic miliknya. Branson bersama lima pekerja berlepas ke angkasa lepas dari Spaceport Amerika di New Mexico, Amerika Syarikat (AS) pukul 8.30 pagi (waktu tempatan) pada 11 Julai 2021.
Kurang sejam selepas berlepas, kapal VSS Eve itu melepaskan roketnya pada altitud 85 kilometer, lebih jauh berbanding sempadan 80 kilometer yang dianggap AS sebagai sempadan angkasa lepas. Kesemua kru kemudian dapat merasai pengalaman terapung sebelum kembali semula ke landasan pada pukul 9.40 pagi.
"Tahniah buat pasukan hebat di Virgin Galactic atas kerja keras anda selama 17 tahun yang membolehkan kita pergi sejauh ini," kata Branson sewaktu siaran langsung ketika Unity dalam perjalanan pulang.
Seorang lagi bilionair pelancongan ke angkasa lepas, Pemilik syarikat SpaceX, Elon Musk, yang turut berada di situ menyaksikan penerbangan berkenaan mengucapkan tahniah di Twitter.
Pengasas Amazon, Jeff Bezos, turut mengucapkan tahniah di Instagram, dan menyatakan beliau tidak sabar untuk mengikut jejak langkah Branson. Bezos, individu terkaya di dunia, dijadualkan terbang ke angkasa lepas pada 20 Julai dengan roket New Shepard ciptaan Blue Origin, syarikat miliknya.
EmoticonEmoticon