JOHOR BAHRU, 5 Julai - Polis menahan lima wanita warga Indonesia selepas melakukan perbuatan membahayakan diri dengan berkumpul di luar balkoni sebuah pangsapuri dalam kejadian di Taman Sri Bayu Puteri, di sini hari ini.
Kesemua wanita itu masing-masing berusia 20 hingga 26 tahun ditahan pada pukul 12.15 tengah hari susulan rakaman video tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd. Padzli Mohd Zain berkata, hasil semakan dan siasatan mendapati kejadian itu berlaku tingkat enam sebuah pangsapuri kira-kira jam 10 pagi, semalam.
"Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Taman Pelangi, IPD Johor Bahru Selatan telah melakukan siasatan dan menahan lima wanita berkenaan. Mereka mengaku melakukan perbuatan itu di pangsapuri tersebut.
"Hasil semakan ke atas dokumen pengenalan diri, mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan tidak memiliki rekod jenayah lampau," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Padzli berkata, mereka disiasat mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan membahayakan diri atau keselamatan diri dan orang lain.
Terdahulu, tular video berdurasi tujuh saat memaparkan beberapa wanita dipercayai warga asing melakukan perbuatan membahayakan nyawa dengan duduk bersantai di luar balkoni sebuah pangsapuri, mengundang pelbagai reaksi kurang senang dalam kalangan masyarakat.
Kesemua wanita berkenaan dilihat duduk serta berdiri bersembang sambil membawa minuman. Mereka dipercayai keluar untuk bersantai di balkoni tanpa sebarang pagar itu melalui tingkap bilik di unit berkenaan.
EmoticonEmoticon