Tular sebuah video yang mendakwa berlaku kes culik membabitkan remaja orang kurang upaya (OKU) dalam kejadian di Bandar Country Homes di Rawang, pagi tadi hanya salah faham.
Kejadian berlaku kira-kira 9 pagi apabila remaja terbabit bersama ibunya yang berusia 54 tahun ke warung di lokasi kejadian membeli sarapan, sebelum disedari hilang oleh ibunya.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, siasatan mendapati remaja terbabit berjalan seorang diri tanpa pengetahuan ibunya dan menahan sebuah kenderaan yang ketika itu melalui kawasan berkenaan.
"Kenderaan yang dipandu oleh lelaki tempatan berusia 80 tahun (tanpa penumpang lain) itu berhenti dan membenarkan mangsa menaiki kenderaannya.
"Pemandu itu beranggapan mangsa meminta pertolongan namun lelaki tersebut tidak pasti arah tuju remaja itu, kerana tidak berkata apa-apa sehinggalah ditahan oleh beberapa buah kenderaan," katanya.
Susulan itu katanya, pengadu kemudian telah membuat pertanyaan kepada peniaga yang berada di kawasan berhampiran dan dimaklumkan anaknya itu telah mengikut seorang lelaki dengan menaiki sebuah kenderaan berwarna kelabu.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati seorang kenalan ibu remaja tersebut telah memuat naik video kejadian yang berlaku sehingga kenderaan yang membawa anaknya berjaya ditemukan oleh orang awam di Saujana Rawang kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
"Daripada siasatan yang dijalankan, polis mengesahkan tiada elemen culik atau melarikan dengan cara yang salah sebagaimana yang ditularkan," katanya.
Menurutnya, dalam kes ini, wanita terbabit turut membuat penarikan laporan polis yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang.
Terdahulu, tular video berdurasi 26 saat mendakwa seorang lelaki melarikan remaja OKU di Rawang. Video terbabit turut memaparkan lelaki berkenaan ditendang seorang wanita yang menahannya.
EmoticonEmoticon