Tular sebuah klip video yang memaparkan seorang lelaki warga emas minum air yang dicampur cecair peluntur sejak semalam. Itu antara dakyah gila dan melampau kononnya untuk mencegah Covid-19.
Video berdurasi 1 minit 16 saat yang dikongsi di Twitter itu sudah ditonton lebih 600,000 kali. Sebenarnya, klip video itu sudah lama tersebar melalui aplikasi WhatsApp namun ia kembali tular selepas dimuat naik di pelbagai saluran media sosial, baru-baru ini.
Berdasarkan video itu, dapat dilihat lelaki berkenaan pada mulanya menuang satu penutup cecair peluntur ke dalam gelas plastik kecil mengandungi air berkarbonat sebelum mengacaunya.
Kelihatan air berwarna merah itu bertukar menjadi jernih selepas dimasukkan cecair peluntur sebelum dia memasukkan satu penutup lagi cecair peluntur ke dalam gelas berisi air teh susu.
Lelaki itu kemudiannya minum air tersebut sambil diperhatikan beberapa orang lagi seolah-olah dia telah biasa melakukannya. Berdasarkan gaya percakapan lelaki itu berkemungkinan berasal dari sebuah negeri di utara tanah air.
Klip video tersebut turut mendapat perhatian pengasas laman sosial perubatan tempatan, MEDTweetMY, Dr. Khairul Hafidz yang menasihati masyarakat supaya tidak meniru perbuatan tersebut.
"Tuan, puan, adik, kakak, abang, pakcik, makcik, datuk, datin, saya ingin menekankan dengan serius peluntur tidak akan boleh merawat Covid-19. Nanti yang minum peluntur yang akan dirawat akibat kesan sampingan," tulisnya di laman Twitter beliau.
"Lihat video, beginilah bapa saya percaya sekarang dia suruh saya kunyah bunga cengkih katanya petua hilangkan Covid-19, tolonglah saya," ujar seorang netizen.
Bagaimanapun, ada netizen mendakwa bahawa ia hanyalah muslihat, cecair peluntur itu sebenarnya tidak dimasukkan ke dalam teh. "Tengok semula betul-betul video itu, netizen dipermainkan," ujar seorang lagi netizen.
"Walaupun ia merupakan muslihat apa tujuannya dia berbuat begitu?," soal seorang lagi yang tidak berpuas hati. Sumber: Harian Metro
EmoticonEmoticon