Khamis, 24 Jun 2021

Tidak kisah gadai nyawa demi memiliki bibir paling tebal di dunia


Seorang wanita Bulgaria yang obses mendapatkan bibir paling besar di dunia sanggup merisikokan nyawa bagi menjalani pembedahan yang boleh meragut nyawa, lapor akhbar The Sun, kelmarin (23/6/2021).


Andrea Ivanova, 23, dari Sofia berkata, selain menebalkan bibir, dia juga bercadang menambah saiz payudara dan mengubah struktur wajah agar kelihatan seperti patung mainan Barbie hidup.


Ivanova mula membesarkan bibirnya menjadi Barbie sejak tahun 2018, dan mengakui sudah melakukan 25 suntikan asid hyuluronat di bibir dan percaya bibirnya adalah yang terbesar di dunia.


"Namun saiz sekarang masih belum cukup bagus untuk saya dan saya akan terus menebalkan bibir walaupun ia kini sudah hampir menyekat lubang hidung," jelasnya.


Gadis itu turut memberitahu bahawa doktor yang bertanggungjawab merawatnya memberi amaran bahawa, pembedahan baharu boleh membawa maut.


"Beberapa hari yang lalu, saya menjalani prosedur menebalkan bibir. Doktor saya memberi amaran kepada saya jika bibir saya sakit atau ada masalah segera memanggilnya kerana terdapat risiko dehidrasi.



"Oleh itu, dia mengesyorkan saya melincirkan bibir saya dengan pelembap, walaupun doktor memberi amaran saya tidak peduli kerana saya tetap mahu capai impian bibir terbesar di dunia," katanya.


Ivanova menjelaskan, dia merasa sangat baik dan sangat gembira dengan bibir barunya itu, kerana dengan bibir yang lebih besar dia kelihatan lebih cantik. Walaupun mendapat kritikan dalam talian, Ivanova menegaskan bahawa dia menyukai penampilannya dan tidak peduli dengan pendapat orang lain.


"Ada orang yang menyukai saya dengan bibir yang lebih besar dan ada orang yang menyukai saya dengan bibir yang lebih kecil tetapi tidak menjadi masalah bagi saya, yang penting bagi saya bagaimana saya menyukainya," katanya.


Gambar Andrea Ivanova, selepas menebalkan bibirnya supaya kelihatan seperti patung mainan Barbie hidup. - Foto Jam Press.

Andrea Ivanova, sebelum dia menebalkan bibirnya. - Foto Jam Press.


EmoticonEmoticon