Selasa, 29 Jun 2021

Sumai Tawar RM42,900 Untuk Jumpa Bini Hilang, Akhirnya Ditemui

Khairuddin menunjukkan gambar isterinya, Ervina. - Foto Agensi.

Seorang lelaki dari Kampar, Indonesia tidak berputus asa, malah sanggup menawarkan 150 juta rupiah (kira-kira RM42,900) sebagai ganjaran kepada individu menemui isterinya yang hilang tanpa khabar berita sejak empat bulan lalu.


Tribunnews melaporkan, Khairuddin atau mesra disapa Ucok Regar itu dikatakan pernah menawarkan ganjaran 75 juta rupiah (RM21,707) pada April lalu. Namun, tiada individu yang tampil menyalurkan maklumat.


Isteri lelaki itu, Ervina Lubis, 40, juga masih gagal ditemui walaupun pelbagai ikhtiar dilakukan penduduk Kampung Tanjung Sawit, daerah Tapung dan Kampar untuk menjejakinya hingga Khairuddin nekad untuk menaikkan jumlah ganjaran.


"Ya, saya beri ganjaran 150 juta rupiah dengan harapan isteri ditemui segera," katanya.


Pada Jumaat 25 Jun 2021 lalu, isteri yang hilang akhirnya ditemui. Menurut laporan media tempatan, isteri kepada Khairuddin Siregar, Ervina Lubis ditemui di sebuah pusat pendidikan Islam Temboro di Magetan, Jawa Timur.


Ervina Lubis. - Foto Agensi.

Ervina dihantar individu yang menemuinya di kediaman Khairuddin, sehari kemudian. Wanita itu dilaporkan menangis dan berkali-kali memohon maaf kepada suaminya ketika pulang ke rumah lelaki itu Desa Tanjung Sawit, Kampar.


"Alhamdulillah, akhirnya dia pulang," kata Khairuddin.


Lelaki itu bagaimanapun enggan mendedahkan punca isterinya menghilangkan diri. Dalam pada itu, Khairuddin mengotakan janjinya untuk memberikan 150 juta rupiah (kira-kira RM42,900) kepada individu yang menemui Ervina Lubis.


Ervina dilaporkan hilang sejak 18 Mac lalu ketika Khairuddin mengajak isteri dan anaknya ke sebuah pusat beli-belah di bandar Pekanbaru. Khairuddin dikatakan menerima panggilan telefon daripada rakannnya dan beredar seketika ke Jalan Harapan Raya yang tidak jauh dengan pusat beli-belah berkenaan.


Sekembalinya ke pusat beli-belah itu, Khairuddin mendapati isterinya sudah tiada. Anaknya memberitahu Khairuddin yang ibunya mahu ke tandas tetapi tidak kembali semula.


Khairuddin cuba mencari isterinya itu, tetapi tidak menemuinya dan akhirnya pulang ke rumah dengan anaknya. Lelaki itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Tampan, bandar Pekanbaru pada 19 April lalu.


Khairuddin pada April lalu pernah menawarkan ganjaran 75 juta rupiah (RM21,707) untuk individu yang mengetahui keberadaan isterinya. Lelaki itu kemudian menaikkan ganjaran itu kepada 150 juta rupiah selepas usaha pencariannya menemui jalan buntu.


EmoticonEmoticon