Ahad, 20 Jun 2021

Gagal kawal emosi lihat rumah terbakar, lelaki tumbuk anggota bomba direman empat hari


Seorang anggota bomba cedera selepas diserang seorang lelaki yang dipercayai tidak berpuas hati, dan mendakwa bomba tiba lewat di lokasi kejadian di Kampung Belipat, Jalan Punang di Lawas, Sarawak pada Sabtu.


Menerusi satu rakaman video berdurasi 54 saat, lelaki tersebut dilihat berlari ke arah anggota bomba yang sedang terlibat dalam kerja-kerja pemadaman kebakaran sebelum menumbuknya, menyebabkan anggota berkenaan terjatuh di atas tanah.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman berkata, ia kejadian pertama serangan terhadap anggota bomba ketika sedang menjalankan tugas berlaku di Sarawak.



Pada mulanya, seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas. Tidak lama selepas itu, seorang lagi lelaki tiba-tiba menyerang anggota bomba dari arah belakang menyebabkan anggota terbabit terjatuh.


Katanya, lelaki yang menyerang anggota bomba yang sedang menjalankan tugas memadam kebakaran sebuah rumah pada jam 3.18 petang, mendakwa gagal mengawal emosi selepas melihat rumah pusaka mereka musnah terbakar.


"Anggota bomba terbabit juga bertindak balas melalui saluran yang betul iaitu dengan membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada jam 9.14 malam pada hari yang sama.


"Bagaimanapun, kira-kira jam 12.45 tengah malam tadi, atas budi bicara anggota bomba terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat selepas menerima permohonan maaf daripada pelaku yang menyesal dan menyedari kesalahan yang dilakukannya," katanya.


Menurut Khirudin, dalam isu itu, JBPM menunjukkan sikap profesional semasa menjalankan tugas dan sentiasa bertoleransi serta bertimbang rasa dalam menangani sebarang isu atau masalah yang dihadapi.


Bagaimanapun, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, polis meneruskan siasatan walaupun mangsa menarik balik laporan polis yang dibuatnya terhadap suspek berusia 30 tahun itu, malam tadi.


Katanya, lelaki yang menyerang anggota bomba itu ditahan reman empat hari mulai hari ini. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 332 kanun yang sama kerana mencederakan penjawat awam.


Anggota bomba sedang menjalankan tugas memadam kebakaran rumah di Kampung Belipat, Lawas, petang semalam.

Seorang lelaki dilihat mengamuk dan menghempas barang sambil memarahi anggota bomba yang sedang menjalankan tugas.


EmoticonEmoticon