Masa depan Tasik Chini yang terkenal dengan mitos kewujudan naga dan destinasi tarikan eko pelancongan semakin kelam apabila penerokaan tanah serta perlombongan berhampiran dikesan terus berleluasa.
Sebelum ini sebuah portal berita melaporkan kerajaan Pahang telah meluluskan kerja perlombongan di sekitar Tasik Chini di Pekan kepada sebuah syarikat di sebalik rancangan untuk memulihkannya.
Ia sekaligus menimbulkan masalah termasuk kerosakan kualiti air tasik semakin buruk, kehidupan marin dalam air bertambah kurang, gangguan ekologi dan kepupusan biodiversiti.
Kegiatan perlombongan berhampiran Tasik itu turut mendapat perhatian pelakon Sara Ali, akibat terkejut melihat kemusnahan alam yang berlaku terhadap sebuah lokasi pelancongan popular yang terletak di Pekan, Pahang itu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, Sara Ali, 31, berkongsi kenangan lewat zaman kanak-kanaknya yang pernah menikmati keindahan lanskap Tasik Chini, namun kini telah musnah kerana sikap tamak manusia menggondol hasil hutan.
"Masa kecil ayah saya selalu bawa kami anak-beranak pergi Tasik Chini naik bot. Saya selalu ditakutkan dengan cerita ada naga di bawah tasik itu. Mungkin itu adalah salah satu cara supaya saya dengar cakap supaya tidak meletakkan jari di dalam air ketika bot sedang bergerak.
"Saya pernah melihat keindahan Tasik Chini ketika masih kecil. Tapi sekarang sudah tidak sama lagi. Kalau betul dalam Tasik Chini ada naga, saya harap naga itu bangun dan melihat sendiri kemusnahan yang berlaku kepada Tasik Chini," tulisnya.
Pelakon telemovie Split itu juga tidak menyangka dan berasa sangat terkilan dengan kemusnahan yang berlaku terhadap Tasik Chini yang dahulunya cukup indah. Walaubagaimanapun dia percaya akan kuasa Tuhan dan Alam.
"Saya tidak tahu sama ada generasi akan datang berpeluang untuk melihat keindahan Tasik Chini atau tidak. Kalau hendak dipulihkan semula akan mengambil masa yang lama," ujarnya yang juga seorang penggemar aktiviti kembara jalan kaki atau hiking.
Dia yang mempunyai susur galur keluarga berasal dari Kuala Lipis, Pahang ini percaya kemusnahan yang berlaku pada alam pada ketika ini perlu 'dibayar' oleh manusia sendiri pada masa akan datang.
"Sejujurnya saya tidak berniat untuk sakitkan hati atau menuduh sesiapa tentang apa yang berlaku. Cuma saya meluahkan rasa sedih melihat kemusnahan tersebut. Tidak mustahil Tasik Chini hanya tinggal pada nama sahaja suatu hari nanti jika kemusnahan terus berlaku," katanya. Sumber: Mohd Shahemy Azmi/Kosmo (10/6/2021).
EmoticonEmoticon