Sebuah restoran di Florida menggantung helaian wang kertas pada bahagian siling restoran menjadi perhatian ramai kerana keunikan hiasan dalamannya. Jumlah nilai wang kertas itu dianggarkan mencecah AS$2 juta (RM8.2 juta).
Sejarah hiasan unik di McGuire’s Irish Pub itu bermula pada tahun 1977 apabila pemiliknya, Martin McGuire dan isterinya, Molly McGuire memulakan perniagaan tersebut.
Apabila Molly mendapat wang tips pertamanya daripada pelanggan yang bernilai AS$1 (RM4.10), dia meraikan kejayaan tersebut dengan cara menulis tarikh pada wang kertas itu dan menggantungkannya di bahagian belakang kaunter bar untuk membawa tuah.
Bermula dari itu, para pelanggan restoran tersebut turut melakukan tindakan yang sama dengan melekat dan menggantung wang kertas dalam restoran tersebut.
"Restoran seluas 1,393.5 meter persegi ini mempunyai banyak wang kertas yang digantung di setiap sudut siling dan dinding. Kami mengira nilainya setiap tahun dan membayar cukai bagi setiap pertambahan jumlahnya," ujar Martin dalam satu temu bual dengan akhbar Chicago Tribune pada tahun 1999.
Ketika temu bual itu, Martin menganggarkan nilai wang kertas tersebut adalah kira-kira AS$175,000 (RM720,600), namun kini angka itu sudah meningkat sekitar hampir AS$2 juta (RM8.2 juta). Dalam pada itu, disebabkan hiasan wang kertas tersebut, banyak kejadian kecurian dan cubaan mencuri dilaporkan berlaku di McGuire’s Irish Pub.
Katanya, seorang pekerja pernah tertangkap kerana melakukan percubaan mengeluarkan kira-kira AS$5,000 (RM24K) wang kertas tesebut. Ada juga individu yang turut dilaporkan cuba menggunakan wang kertas yang dicuri untuk membayar bil di sekitar Pensacola.
Bagaimanapun, semua cubaan itu gagal kerana wang kertas yang digantung mempunyai tanda tangan di atasnya dengan lubang alat penebuk. Maka sukar untuk membelanjakannya tanpa ada yang menyedarinya.
Selain itu, ada juga cubaan menukar wang kertas yang dicuri itu di bank tempatan. Namun, juruwang menyedari bahawa wang itu dari McGuire’s Irish Pub dan memberitahu kepada pengurusnya, pada masa itu suspek menjadi bimbang dan bertindak meninggalkan bangunan itu. Sumber: Spooky/Oddity Central (9/6/2021).
EmoticonEmoticon