Rabu, 30 Jun 2021

Penyelidik Cipta Alat Pengunci Mulut Bantu Turunkan Berat Badan


Dalam usaha mengatasi krisis berat badan berlebihan, sekumpulan penyelidik dari New Zealand dan United Kingdom mencipta peralatan mengunci mulut dari makan. Ia mengunci rahang pemakai daripada terbuka luas sekali gus menahan diri daripada makan dalam kuantiti yang banyak.


Lapor akhbar The Sun semalam, peralatan yang dikenali sebagai 'The Dental Slim Diet Control' merupakan alat yang dihasilkan oleh pakar pergigian yang dipasang di antara gigi atas dan bawah seseorang.


Digelar sebagai 'alat menurunkan berat badan pertama di dunia' peranti menggunakan magnet itu menghalang mulut daripada terbuka melebihi 2 milimeter. Menurut perekanya, alat tersebut dapat mengehadkan amalan pemakanan kepada diet berasaskan cecair.


Peralatan itu masih selamat kerana tidak menutup rahang sepenuhnya, pemakai masih boleh bercakap dan bernafas dengan normal selain terdapat fungsi keselamatan yang membolehkan alat tersebut dicabut jika berlakunya serangan panik atau tercekik.


Menurut penerbitan British Dental Journal, enam peserta yang mengambil bahagian dalam ujian pemakaian alat tersebut menunjukkan mereka berjaya menghilangkan purata berat badan 6.36 kilogram dalam masa dua minggu.



Ketua Penyelidik yang juga Naib Canselor Universiti Otago, Prof. Paul Brunton berkata, peralatan itu adalah berkesan, selamat dan berpatutan bagi individu yang mahu menurunkan berat badan.


"Alat itu dipasang oleh doktor gigi yang boleh dibuka oleh seseorang ketika waktu kecemasan serta dipasang atau ditanggalkan semula.


"Halangan utama untuk setiap orang menurunkan berat badan adalah disiplin dan alat ini membantu mereka membentuk tabiat baharu yang membolehkan mereka mematuhi diet rendah kalori untuk jangka waktu tertentu," jelasnya.


Dalam pada itu, alat tersebut mencetuskan kontroversi di internet selepas ramai pengguna berpendapat ia tidak sesuai untuk digunakan. "Saya rasa ia agak teruk dan menjatuhkan maruah," tulis seorang pengguna di Twitter.


"Masalah kami, golongan berbadan gempal ini adalah kami tidak boleh menutup mulut kami (daripada untuk terus makan)," tulis seorang lagi pengguna.


Alat tersebut menggunakan magnet yang dilekat pada gigi gigi. - Foto Universiti Otago.


EmoticonEmoticon