Ahad, 20 Jun 2021

Pencuri tong sampah jenis besi diberkas polis


Seorang lelaki dipercayai mencuri tong sampah dicekup polis dalam serbuan di kawasan Bayan Baru, kelmarin. Tong sampah jenis besi itu dicuri menggunakan lori pada Rabu di kawasan Kepala Batas.


Suspek lelaki berusia 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.50 petang selepas polis menerima laporan berhubung kehilangan tong sampah itu hadapan kedai di Kepala Batas Khamis lalu.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, penahanan suspek dibuat selepas polis menerima laporan daripada pemilik sebuah kedai aluminium yang memaklumkan kehilangan tong sampah jenis besi di hadapan premisnya.


Katanya, mangsa kemudian membuat semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar premis sebelum mendapati sebuah lori tidak dikenali telah menarik tong sampah itu dan terus beredar, sekitar 6.30 pagi Rabu lalu.


"Mangsa membuat laporan keesokannya dan siasatan polis mendapati, sejak dua tahun lalu tong sampah itu diletakkan di kawasan tidak berpagar di hadapan kedai.


"Polis menyemak rakaman CCTV untuk mencari petunjuk sebelum berjaya menjejaki keberadaan suspek dan membuat tangkapan," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Beliau berkata, suspek mengaku mencuri tong sampah itu menggunakan lori miliknya dan semakan mendapati suspek mempunyai 13 rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.


Menurutnya, polis merampas sebuah lori jengkaut yang digunakan suspek dalam kegiatan itu, sebuah tong sampah bertutup kain kanvas yang berada di atas lori dan serangkai anak kunci untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.


EmoticonEmoticon