Rabu, 23 Jun 2021

Peguam bangga tolong orang susah, terima ketam sebagai upah guaman


Seorang peguam di bandar Sorsogon, Filipina telah menerima upah beberapa ekor ketam selepas kliennya memaklumkan tidak mampu membayar yuran guaman, lapor laman berita GMA News Online 18 Jun 2021.


Dalam satu hantaran di Facebook, Noel Allen Bose memuatnaik sekeping gambar dirinya yang sedang memegang beberapa ekor ketam di tangan kananannya dan beg bimbit di tangan kirinya di perkarangan luar mahkamah.


Bose berkata selepas satu perbicaraan kes, seorang klien memberitahu bahawa dia tidak mempunyai wang untuk membayar yuran guaman, dan bertanya jika boleh membayar khidmatnya dengan ketam yang telah ditangkap. Bose bersetuju dan menerima ketam tersebut.


Perkongsian itu tular di internet - dia juga berterima kasih kepada warganet yang memberikan kata-kata baik buatnya. Bose turut memuatnaik gambar ketam yang sudah dimasak di ruangan komen.


"Hadiah ketam ini sememangnya mengenyangkan namun reaksi positif anda semua terhadap status ini menjadikan hati saya berasa terharu.


"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua peguam yang bertugas untuk sektor kerajaan dan swasta," tulis Bose pada hantaran itu.


Tambahnya, peguam jarang menulis atau berkongsi tentang kerjaya atau cabaran kes yang dihadapi namun mereka sentiasa berusaha keras untuk memenuhi janji bagi membantu warga Filipina.


Bose memuat naik gambar dia memegang ketam yang diterima sebagai upah khidmat guamannya. - Foto Noel Allen Bose.


EmoticonEmoticon