Di suatu tempat di Selatan Semenanjung Arab, terdapat sebuah pulau yang penuh dengan pelbagai bentuk kehidupan yang pelik, dan merupakan salah satu tempat paling aneh di dunia. Pulau Socotra di Yaman ini mempunyai landskap sangat luar biasa yang tidak terdapat di mana-mana tempat.
Mereka mengatakan bahawa jika anda tertidur dan bangun di Pulau Socotra, anda mungkin berfikir bahawa anda telah diculik oleh makhluk asing, kerana pulau ini seolah-olah seperti berada di planet lain.
Pulau Socotra adalah salah satu dari empat gugusan pulau, tetapi ia adalah yang terbesar. Keluasan pulau ini hanya sekitar 83 x 27 batu, tetapi merupakan tempat yang paling asing di bumi. Ia terletak kira-kira 241 kilometer dari timur Tanduk Afrika dan 290 kilometer di selatan Semenanjung Arab.
Kepulauan kecil ini seperti tak terpengaruh oleh waktu dan tidak pernah berubah selama ribuan tahun. Tidak hairan jika Socotra memiliki beberapa gelaran, mulai dari 'the lost world', pulau alien, hingga dipercayai tempat persembunyian dajjal.
Pulau Socotra di Kepulauan Socotra terkenal dengan tumbuhan seperti pohon darah naga yang berbentuk seperti payung terbalik. Lebih menakjubkan, satu kajian oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap flora dan fauna di pulau itu, saintis menemui 700 spesies endemik yang tidak pernah ditemui di mana-mana tempat di seluruh dunia.
Sebagai contoh, 37 peratus daripada 825 spesies tumbuhan dan 90 peratus daripada spesies reptilia ditemui adalah unik yang hanya terdapat di pulau itu. Saintis juga menemui 192 jenis burung, 253 jenis batu karang dan lebih 1,000 spesies hidupan marin tinggal di perairan pulau itu.
Antara haiwan luar biasa yang menarik perhatian saintis termasuk labah-labah tarantula biru dan sesumpah ganjil. Pulau itu juga mempunyai pemandangan luar biasa kawasan pantai, tebing batu, gua dan Gunung Hajhir yang luar biasa.
Tidak hairanlah Kepulauan Socotra yang mempunyai empat pulau dan dua pulau berbatu diiktiraf sebagai Lokasi Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).
Socotra dianggap sebagai pembentukan tanah paling terpinggir di dunia dan dipercayai kepulauan itu sebahagian daripada benua besar Gondwana tetapi terpisah kira-kira 20 juta tahun dahulu.
EmoticonEmoticon