Selasa, 15 Jun 2021

Lelaki Nyaris Maut Ditelan Ikan Paus Selama 30 Saat, Dapat 'Nyawa Kedua' Selepas Ikan Itu Muntahkannya Semula


Seorang nelayan pencari udang galah mendakwa ditelan seekor ikan paus baru-baru ini. Kisah itu dikongsi nelayan terbabit, menerusi Facebook beberapa jam selepas kejadian malang yang menimpanya.


"Saya dapat rasakan berada di dalam perut dan paus sedang menelan saya." Berikut merupakan luahan detik cemas dialami oleh Michael Packard yang berusia 56 tahun seorang nelayan di Massachusetts, Amerika Syarikat (AS).


Menurutnya, sebelum kejadian beliau sedang mengutip udang galah yang dipancingnya di perairan Provincetown, AS. Secara tiba-tiba pandangannya menjadi gelap, tanpa mengambil masa yang lama beliau menyedari bahawa dirinya telah ditelan seekor ikan besar.


Pada mulanya, Packard menyangka ditelan ikan jerung putih, tetapi berasa pelik kerana tidak merasai kesakitan digigit gigi tajam. Rupa-rupanya beliau ditelan humpback whale atau paus kelasa.


"Saya dapat merasakan paus terbabit sedang menelan dan saya bergerak ke dalam perut secara perlahan-lahan. Sepanjang tempoh itu, saya hanya memikirkan isteri dan anak-anak serta beranggapan sudah tiba masanya saya mati," katanya.


Pun begitu, bak peribahasa lama 'berpantang maut sebelum ajal' umur Packard masih panjang walaupun berdepan detik yang hampir meragut nyawanya. Dia ditelan kira-kira 30 hingga 40 saat sebelum paus tersebut memuntahkannya semula.


"Paus berkenaan memuntahkan saya ke udara, lalu saya jatuh ke dalam laut dan terapung. Tak sangka insiden ini benar-benar berlaku," ceritanya.


Pengalaman pahit menimpa lelaki tersebut disaksikan oleh rakannya, Josiah Mayo yang berada di atas bot. Beliau segera menarik Packard yang terapung di atas air sementara menunggu bantuan daripada pasukan penyelamat Provincetown dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.


Hasil pemeriksaan mendapati Packard mengalami kerosakan tisu lembut pada bahagian kaki. Namun begitu, beliau tidak mengalami patah tulang atau kecederaan serius yang lain.


Pengarah kajian ikan paus humpback di Pusat Kajian Pesisir di Provincetown, Massachusetts, Jooke Robbins berkata, apa yang diceritakan nelayan itu adalah benar. Dia tidak pernah mendengar insiden sedemikian namun beranggapan Packard berada di tempat dan waktu yang tidak tepat. Sumber: CBS Boston (11/6/2021).


Packard menunjukkan antara udang galah yang ditangkapnya.


EmoticonEmoticon