Selasa, 8 Jun 2021

Ketika 'lockdown' sepatutnya duduk rumah, 7 suspek ini ambil kesempatan curi kerbau

Kerbau yang dicuri sekumpulan lelaki di Tronoh. - Foto Utusan Malaysia

Dalam keadaan penduduk berdepan situasi PKP Penuh 'lockdown' untuk memutuskan rantai penyebaran Covid-19, suasana lengang itu diambil kesempatan oleh golongan tidak bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti tidak sihat seperti mencuri.


Menurut laporan Utusan Malaysia, hari ini, seorang penjawat awam dan pelajar kolej antara tujuh lelaki berusia antara 18 hingga 46 tahun ditahan polis kerana disyaki terlibat kes curi kerbau di ladang kelapa sawit di Tronoh, semalam.


Kejadian pada pukul 8.30 pagi itu disedari pemilik haiwan berusia 60 tahun setelah dia terdengar bunyi letupan ketika membuat rondaan di ladang miliknya. Lelaki itu kemudiannya terserempak tiga lelaki namun mereka segera melarikan diri sebaik sahaja terlihat pengadu.


"Dengan bantuan beberapa orang lain, ketiga-tiga suspek dapat ditangkap. Mereka telah membawa pengadu masuk semula ke dalam hutan dan menunjukkan tempat kerbau yang dicuri dan ditambat.


"Pengadu mengecam kerbau ditunjukkan itu adalah miliknya yang hilang sebelum ini dan melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis," Kata Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, hari ini.


Beliau berkata, polis yang menjalankan siasatan lanjut menahan empat lagi suspek termasuk seorang penjawat awam berusia 46 tahun dan pelajar kolej vokasional berusia 18 tahun.


Katanya, siasatan awal mendapati, kumpulan terbabit menjalankan kegiatan curi kerbau dengan menggunakan penembak pelali, haiwan itu kemudiannya ditambat sebelum dibawa keluar menggunakan lori.


Menurutnya, dengan penahanan itu, pihak Polis turut merampas dua kenderaan, satu laras aluminium, jarum pelali, tali guni, satu botol ubat ketamil dan combistress serta empat unit handy talkie yang digunakan bagi menjalankan kegiatan mencuri kerbau.


Tambahnya, berdasarkan semakan, seorang daripada suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau antaranya merusuh. Polis akan mendapatkan tempoh tahanan reman hari ini (Selasa) bagi siasatan kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.


EmoticonEmoticon