Kebanyakan peminat bola sepak pasti mengenali Sadio Mane merupakan penyerang sayap untuk Liverpool. Di negaranya dia dikenali dengan kemurahan hatinya yang suka membantu penduduk terutama di kampung halamannya.
Bintang bola sepak dari Senegal ini tidak pernah melupakan asal usulnya yang rendah hati, dia sering bekerjasama dalam pembangunan ekonomi dan sosial. Pada hari Ahad, 20 Jun, Sadio Mane merasmikan hospital yang dibina hasil wang sumbangannya di kampung halamannya di Bambali, Senegal.
Menurut media tempatan, hospital yang dibina dengan kos 500,000 pound (RM2.88 juta) itu mampu memberi manfaat kepada penduduk dari 34 buah kampung yang terletak di wilayah Sedhiou.
Hospital berkenaan merangkumi wad bersalin, bilik pemeriksaan kesihatan, dewan pembedahan, bilik mayat dan pelbagai kemudahan perubatan lain.
Mane tidak pernah mencari status selebriti, sebaliknya hanya mahu menggunakan kekayaan yang dimiliki sebagai bintang bola sepak untuk membantu menaiktaraf kehidupan masyarakat tempatan.
Pada 2019, pemain berusia 29 tahun itu menyumbang 250,000 pound (RM1.45 juta) untuk membina sekolah menengah di Bambali, malah dia turut memiliki sebuah pasar raya di sana.
"Hospital ini dibina sebagai tanda terima kasih untuk anda semua dan penduduk Sedhiou," kata Mane yang bangga kerana mampu memberi sumbangan kepada pembangunan wilayah kelahirannya.
Mane yang merupakan anak bekas imam dari kampung Bambali berazam untuk terus membantu pembangunan ekonomi dan sosial di wilayah berkenaan. Kata Mane, projek masa depannya selepas ini adalah membina sebuah pejabat pos dan stesen minyak.
EmoticonEmoticon