Khamis, 10 Jun 2021

Gadis Remaja Sanggup Jual Motor Ayah, Gara-Gara Ingin Bertemu Lelaki Dikenali Dalam 'Online Game'


Baru-baru ini, satu video tular mengenai seorang remaja perempuan dilihat menangis di ruang menunggu di lapangan terbang Sultan Thaha Jambi, Indonesia. Gadis remaja itu menangis setelah gagal menemui rakan lelaki di Jakarta yang dikenalinya melalui permainan video dalam talian.


Menurut laporan Detik News, kejadian itu berlaku pada selasa lalu (8/6/2021), seorang gadis remaja bernama Indri terlihat kebingungan serta terkandas di lapangan terbang tersebut, yang dikatakan ingin bertemu dengan seorang lelaki di Jakarta.


Difahamkan, gadis itu membatalkan niatnya saat akhir untuk ke Jakarta setelah dia keliru dengan keputusannya. Dia mula meragui tindakannya selepas memikirkan mengenai kedua ibu bapanya. Berseorangan di situ, dia kebingungan dan hanya mampu menangis.


Seorang jurujual bernama Monik, yang berada di lapangan terbang kemudian menghampiri remaja tersebut. Monik juga mengupas kisah gadis itu yang kelihatan keliru di lapangan terbang.


"Saya melihat remaja ini seakan kebingungan, kemudian saya datang dan bertanya, ternyata dia berasal dari Jambi pergi ke Jakarta untuk bertemu dengan rakan lelaki yang selalu bermain dengannya dalam talian," kata Monik kepada wartawan, Rabu lalu.



Monik berkata, dia memujuk gadis itu untuk menceritakan kisahnya, remaja itu kemudian mengatakan dia ingin pergi ke Jakarta dengan wang berjumlah Rp20 juta (RM5,771), dan memaklumkan wang itu diperoleh hasil menjual motosikal ayahnya.


Remaja itu dipercayai memberontak dan nekad untuk berjumpa lelaki yang dikenalinya itu tetapi ia tidak diteruskan kerana keluarganya dapat mengetahui mengenai perkara tersebut setelah video mengenainya tular.


"Sebenarnya dia tetap berkeras mahu pergi, tetapi untungnya setelah videonya menjadi viral, keluarganya datang ke lapangan terbang. Tidak cuma itu, remaja itu juga secara tidak sengaja bertemu dengan seorang guru sekolahnya, akhirnya dia membatalkan hasrat untuk ke Jakarta," kata Monik.


Sementara itu, Pengurus Besar Sultan Thaha Jambi Airport Agus Supriyanto menjelaskan, bahawa remaja itu merupakan penumpang yang akan berlepas pada selasa. Namun, pihaknya membatalkan penerbangan gadis itu, kerana turut merasa curiga terhadap gadis itu yang kelihatan kebingungan dan tidak mempunyai penjaga.


Keluarganya yang berasal dari Desa Tangkit, Wilayah Jambi, dilaporkan telah menjemputnya di lapangan terbang untuk membawanya pulang. Sumber: Detik News



EmoticonEmoticon