Isnin, 14 Jun 2021

China Didakwa Giat Hasilkan Senjata Biologi Untuk Persediaan Perang Dunia Ketiga


Senjata biologi adalah senjata atau kemudahan pertempuran yang menggunakan unsur biologi (biasanya patogen) yang digunakan dalam peperangan. Secara umum, patogen yang digunakan dalam senjata biologi adalah virus, bakteria, atau parasit yang menyebabkan penyakit berjangkit.


Para saintis Amerika Syarikat (AS) mendakwa China menghabiskan masa selama beberapa dekad untuk menjalankan penyelidikan mengenai senjata biologi secara bersembunyi di puluhan makmal rahsia di seluruh negara itu.


Negara yang mempunyai keluasan sekitar 9.6 juta kilometer persegi itu didakwa mempunyai 50 makmal rahsia, mereka disyaki aktif dalam menghasilkan 'bom bakteria' yang boleh menyebabkan maut skala besar-besaran.


Kebimbangan mengenai kewujudan makmal rahsia China muncul ketika teka-teki tentang asal usul virus Covid-19 terus menjadi persoalan, dengan kebanyakannya mendakwa ia dicipta dalam makmal di Wuhan.


Jabatan Negara AS mendakwa memperoleh sejumlah dokumen yang menunjukkan komandan Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) percaya akan berlaku Perang Dunia Ketiga pada masa akan datang.


Dokumen yang dieroleh itu secara tidak langsung menunjukkan senjata biologi dan genetik akan digunakan sebagai senjata utama untuk meraih kemenangan dalam peperangan itu.


Laporan pertama mengenai senjata biologi tersebut didedahkan pada April lalu yang menunjukkan hubungan rapat antara tentera China dengan makmal rahsia di negara itu, sekaligus meningkatkan perkembangan penyelidikan biologi.


Selain itu, laporan tersebut memaklumkan China dipercayai mempunyai sejarah program senjata biologi seperti senjata yang mengandungi risin, botulinum dan juga ejen pencetus anthrax, kolera dan tularemia.


Menurut laporan itu, maklumat yang diperoleh menunjukkan China terlibat dalam kegiatan yang menimbulkan kebimbangan. Jabatan Negara AS turut mempersoalkan jika China mematuhi Konvensyen Senjata Biologi (BWC) yang ditandatangani negara itu pada 1984.


Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan oleh para saintis AS pada 2002, terdapat beberapa makmal di China terlibat dalam kajian racun serta patogen yang boleh membawa maut. Satu daripadanya adalah makmal di Yan’an yang didakwa menghasilkan empat jenis senjata biologi termasuk bom bakteria.


Beberapa bandar lain termasuk Changchun, Kunming, Shenyang dan Wuhan pula didakwa terlibat dalam kajian dan membangunkan pelbagai ejen perang biologi.


Terdapat dua pusat kemudahan di China didakwa mempunyai kaitan dengan pembangunan senjata biologi untuk perang iaitu Akademi Mikrobiologi dan Epidemiologi di Sains Perubatan Tentera, Kementerian Pertahanan di Beijing dan Institut Produk Biologi Lanzhou. Sumber: Jon Lockett/The Sun (11/6/2021).


EmoticonEmoticon