Sabtu, 12 Jun 2021

Buaya Tersesat Di Pulau Gaya Berjaya Ditangkap Penduduk


KOTA KINABALU - Kehadiran seekor buaya disedari oleh penduduk Kampung Pondo, seawal jam 8 pagi sebelum rakaman video tular di media sosial mengenai penduduk kampung berusaha menangkap buaya terbabit.


Reptilia itu dianggarkan sepanjang empat meter dipercayai tersesat berhampiran perairan Pulau Gaya. Bagaimanapun buaya itu berjaya ditangkap penduduk kampung petang tadi.


Ketua Kampung Pulau Gaya, Rajit Serong, 60, berkata, dibimbangi mengancam keselamatan penduduk di kampung itu, penduduk mengekori reptilia terbabit dengan menggunakan bot.


Katanya, kelibat buaya berkenaan semakin jelas ketika air laut surut selain hanya berlegar-legar berhampiran pantai Kampung Lobong, sebelum penduduk bekerjasama menangkap reptilia berkenaan.


"Kami terus memasang jerat menggunakan tali sebelum akhirnya menangkapnya sekitar 5.30 petang. Kami kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk mendapatkan bantuan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Rajit berkata, ia adalah pengalaman pertama mereka menangkap reptilia berkenaan sejak tinggal di pulau berkenaan.


"Tujuan kami menangkap buaya berkenaan adalah kerana bimbang keselamatan penduduk di pulau ini terutamanya kanak-kanak. Ia juga boleh mendatangkan bahaya kepada nelayan di perkampungan sekitar pulau ini," katanya.


Buaya yang berjaya ditangkap penduduk di Kampung Lobong, Pulau Gaya.


EmoticonEmoticon