Seekor beruang matahari yang ada masalah penglihatan berjaya diselamatkan di Felda Lakum, Lanchang, Pahang, oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pada Ahad 30 Mei 2021 lalu.
Menurut kenyataan agensi berkenaan menerusi akaun Facebooknya, mamalia itu berjaya dikesan leka berehat di Felda Lakum. Operasi tersebut dilaksanakan susulan pihaknya menerima aduan orang awam berhubung kehadiran beruang madu itu atau nama saintifiknya Ursus malayanus.
Mereka mendakwa bahawa beruang berkenaan menunjukkan corak pergerakan tidak normal di sekitar lokasi ia ditemui seolah-olah memberi gambaran matanya ada masalah kebutaan.
Usaha menyelamat turut melibatkan kakitangan Perhilitan, Pusat Konservasi Hidupan Liar dari Jenderak Selatan, Pahang dan dibantu pasukan polis tempatan dari Balai Polis Lanchang.
Beruang tersebut kemudian ditidurkan sebelum segera dipindahkan ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai, Perak untuk tujuan rawatan dan pemantauan selanjutnya.
Haiwan ini dilindungi sepenuhnya Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan disenaraikan sebagai spesies terancam oleh Kesatuan Antarabangsa Konservasi Semula Jadi (IUCN) sejak 2007.
Dengan berat kurang 70 kilogram dan tinggi di bawah 70 sentimeter, beruang matahari ialah ahli keluarga paling kecil dalam keluarga beruang atau pengelasan saintifiknya, Ursidae.
Ia lazimnya ditemui berkeliaran di hutan Semenanjung Malaysia selain Sabah dan Sarawak serta Kalimantan dan Sumatera, Indonesia di samping Kemboja, Thailand dan Myanmar.
EmoticonEmoticon