Seorang wanita di London terkejut apabila mendapati set karpet kereta yang dibelinya secara online pada harga £245 (RM1,400) adalah lebih kecil daripada saiz tapak tangannya.
Hedge Burley, 40, membeli produk tersebut sebagai hadiah hari lahir suaminya dan merancang untuk meletakkan karpet itu pada kereta Ford Cosworth keluaran 1986 milik mereka.
"Saya melakukan pencarian di internet dan menemui sebuah laman web menjual karpet kereta sama seperti yang saya mahukan.
"Saya terus membeli set karpet tersebut yang dijual pada harga £245 (RM1,400) dan menyangka ia bersaiz sebenar berdasarkan harganya," kata Burley.
Tambah ibu kepada tiga anak itu, sebaik barangan tersebut tiba, dia terkejut apabila melihat saiz sebenar karpet yang diterimanya.
"Ketika bungkusan itu tiba, anak perempuan saya membawanya kepada saya dan terasa seperti kosong. Saya membuka bungkusan barangan tersebut dan tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.
"Anak saya berkata bahawa itulah sebabnya mengapa orang tua tidak boleh membeli barang di internet," katanya.
Burley menunjukkan set karpet kereta itu kepada suaminya yang melihat sisi lucu mengetawakannya. Susulan kejadian itu, Burley berikrar akan mengambil langkah berjaga-jaga apabila membeli-belah secara online pada masa hadapan.
"Pada mulanya saya sangat marah tetapi saya cuba melihat sisi lucu apabila seseorang berusaha untuk membuat karpet mini ini. Pengalaman ini menguatkan tekad saya untuk tidak membeli-belah secara online.
"Saya juga telah cuba untuk menghubungi penjual tersebut, namun laman web itu sudah tidak aktif. Mudah-mudahan saya dapat membeli set karpet kereta bersaiz normal di masa terdekat," katanya. Sumber: Naimah Archibald-Powell/Mirror UK (18/6/2021).
EmoticonEmoticon