Khamis, 17 Jun 2021

Bangkai kapal karam berusia 200 tahun ditemui di perairan Singapura


Bangkai kapal berusia sekitar 200 tahun dipenuhi dengan seramik dan artifak lain ditemui di perairan Singapura dalam penemuan yang jarang-jarang berlaku, kata sekumpulan ahli arkeologi, lapor The Straits Times, semalam (16/6/2021).


Ahli arkeologi berpandangan penemuan yang jarang berlaku itu dapat membantu memberi gambaran sebenar mengenai warisan maritim republik itu. Negara pulau itu sudah lama menjadi hab perdagangan utama laluan perkapalan global yang menghubungkan Lautan Hindi dan Laut China Selatan.


Bangkai kapal itu ditemui dekat Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh, sebuah kawasan berbatu di sebelah timur Singapura, demikian menurut Lembaga Warisan Nasional dan Institut Yusof Ishak- ISEAS yang bekerjasama dalam projek tersebut.



Ia adalah bangkai kapal pertama yang ditemui penyelam secara tidak sengaja apabila terlebih dulu menemui piring seramik pada 2015, berkemungkinan seramik Cina pada abad ke-14, ketika Singapura masih dikenali sebagai Temasek.


Sesetengah barang yang dijumpai adalah sama dengan artifak ditemui di tapak penggalian arkeologi, sekaligus menunjukkan Singapura pernah menjadi hab perdagangan sebelum kedatangan penjajah British pada 1819.


Penerokaan dasar laut di lokasi bangkai kapal pertama membawa kepada penemuan bangkai kedua yang berkemungkinan besar kapal Shah Munchah. Kapal dagang yang dibina di India itu tenggelam pada 1796 semasa belayar dari China ke India.


Barang yang ditemui dari bangkai kapal kedua merangkumi seramik Cina sehinggalah objek kaca atau batu akek selain meriam serta sauh. Meriam terbabit biasanya boleh didapati di kapal dagang digunakan Syarikat Hindia Timur, yang suatu ketika dulu gergasi perdagangan di mana empayar Inggeris berkembang di Asia pada abad ke-18 dan ke-19.


Penemuan kapal pada 2015 itu adalah kapal karam purba pertama yang dijumpai di perairan Singapura. Ia membawa banyak tembikar berwarna biru dan putih dari Dinasti Yuan berbanding kapal karam lain yang pernah direkodkan di dunia. Banyak kepingan yang jarang dan dipercayai unik ditemui.


Antara artifak yang ditemui oleh penyelam dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP

Antara artifak yang ditemui oleh penyelam dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP

Antara artifak yang ditemui oleh penyelam dalam kapal karam berhampiran perairan Pedra Branca, Singapura. - Foto AFP


EmoticonEmoticon