Ahad, 13 Jun 2021

10 Tahun Dilapor Hilang, Rupanya Sembunyi Di Rumah Kekasih Hanya 500 Meter Dari rumah keluarga


Rahsia kehilangan seorang gadis terungkai selepas dia sebenarnya tinggal bersama teman lelaki sejak 10 tahun lalu. Lebih mengejutkan apabila gadis yang berasal dari sebuah kampung di Kerala, India ini bersembunyi di rumah yang hanya 500 meter dari rumah keluarganya.


Wanita bernama Sajitha itu berusia 18 tahun ketika kehilangannya dilaporkan pada Februari 2010. Dia tidak pulang ke rumah selepas keluar untuk bertemu saudara. Pencarian keluarga dan laporan polis tidak menunjukkan sebarang perkembangan sehingga keluarganya buntu.


Namun, seorang saudara terserempak dengan Rahman yang dikatakan teman lelaki wanita itu sebelum mengekorinya baru-baru ini. Rahsia itu terbongkar selepas Rahman ditahan polis dan mengakui dia tinggal bersama seorang wanita di rumahnya.


Selepas pemeriksaan dijalankan, polis menemui Sajitha gadis yang dilaporkan hilang 10 tahun lalu di rumah lelaki terbabit. Rahman mengakui memasang pagar elektrik di kawasan biliknya bagi mengelak keluarganya mengetahui dia tinggal bersama kekasihnya.


Malah sejak 10 tahun lalu Rahman tidak makan bersama keluarga dan hanya terperap di dalam bilik sehingga dia disangka tidak siuman. Setiap hari, bilik Rahman dikunci dan ahli keluarga yang lain tidak dibenarkan masuk.


Rahman juga dikenali mudah marah oleh keluarganya. Dia akan marah sekiranya seseorang cuba memasuki biliknya. Sajitha pula hanya keluar ke tandas pada waktu malam menerusi ruang tingkap bilik berkenaan bagi mengelak keberadaannya diketahui keluarga kekasihnya.


"Kadang-kadang dia bertindak seperti orang yang mengalami masalah mental, menjadi kasar jika ada yang ingin memasuki biliknya. Dia malah membawa makanannya ke biliknya," jelas kakak Rahman.


Selama 10 tahun, Sajitha hanya menghabiskan masa di bilik Rahman dengan menonton TV dengan menggunaksn fon telinga. Kerana risau diketahui, dia juga mencuci pakaian di bilik tersebut.


Mereka kemudian ditahan dan dibawa ke muka pengadilan untuk dibicarakan. Pasangan itu mengakui bertindak sedemikian kerana khuatir hubungan mereka tidak direstui keluarga. Rujukan: Times Of India (11/6/2021), The News Minute (11/6/2021).


Sajitha (kiri) menghilangkan diri sejak 10 tahun lalu untuk tinggal bersama Rahman (kanan).


EmoticonEmoticon