SIBU - Tiga anggota polis direman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan kes seorang konstabel yang mati tertembak oleh rakan sekerja sehingga maut di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9A di sini, semalam.
Permohonan reman sehingga 14 Mei terhadap tiga anggota, masing-masing berusia 21, 23 dan 27 tahun terbabit diluluskan oleh Majistrest Mohd Syukri Mokhtar
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihak patologi dari Kuching akan dihantar ke Sibu untuk melakukan bedah siasat sama ada hari ini atau esok sebelum jenazah dihantar pulang ke Pahang.
Dalam kejadian kira-kira 7 malam pada Khamis, anggota Unit Rondaan Bermotosikal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu Konstabel Norhalim Tumiran, 25, ditemukan maut dengan kesan tembakan di kepala di rumah berkenaan dalam kejadian sekitar pukul 7.20 malam.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa yang tinggal di rumah transit di IPD Sibu, datang ke rumah sewa yang didiami rakan setugasnya itu untuk bermain permainan video di ruang tamu rumah sebelum waktu berbuka.
Bagaimanapun, seorang rakan mangsa dikatakan bergurau dengan mengacukan pistol ke arah mangsa sebelum tertarik picu dan tertembak mangsa. Mangsa yang baru sebulan setengah ditugaskan di sini selepas menamatkan latihan asas kepolisan, meninggalkan seorang isteri dan seorang anak berusia setahun.
Stanley Jonathan Ringgit berkata, penghantaran balik jenazah mangsa ke kampungnya di Pahang sedang diuruskan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak. Kes akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
EmoticonEmoticon