Ahad, 16 Mei 2021

Seluar jeans berusia lebih 100 tahun, pernah ditawar RM1 juta pun tak jual


Bagi penggemar barangan lama atau antik, koleksi yang dikumpul atau dijual mereka bukan dinilai pada wang semata-mata, sebaliknya usia koleksi berkenaan yang mencecah ratusan tahun, lebih-lebih lagi jika ianya tiada pendua atau edisi terhad.


Maka tidak hairan jika ada pihak yang sanggup mendapatkannya terutama peminat, pengusaha dan penggemar barangan 'rare' walaupun harganya mencecah ribuan dan ada sehingga ratusan ribu ringgit, kerana setiap barangan antik mempunyai nilai sejarah dan kisahnya tersendiri.


Baru-baru ini seorang pemilik bundle Tokor Amerika, Ahmad Baihaki Hussin, 40, berkongsi pengalamannya terbang ke Amerika Syarikat (AS), semata-mata mendapatkan seluar jeans pertama dan tertua di dunia.


Seluar jeans Levis keluaran pertama 1890 itu dibelinya daripada pelelong di AS. Kisahnya bermula selepas melihat satu dokumentari di YouTube. Sejak itu dia mula menjadi 'pemburu' jeans berusia 130 tahun itu dan mencarinya di sekitar AS.


"Jeans poket satu ataupun yang dikenali sebagai First Blue Jeans ini dibeli daripada seorang pelelong di AS pada 2018. Saya mengetahui mengenai kewujudan seluar ini selepas melihat satu dokumentari di YouTube menyebabkan tergerak hati ke AS.


"Pertama sekali saya ke Maine, Portland sebelum diberitahu pemilik sebenar jeans berkenaan berada di Tucson. Saya kemudian menemui tapak rumah asal pemilik jeans itu dan diberitahu rumah berkenaan sudah dijual.


"Saya dapat nombor telefon individu yang memegang seluar itu dan cuba menghubungi dan e-mel setiap hari sepanjang berada di sana namun tiada sebarang jawapan. Kemudian, saya pulang semula ke Ibu Pejabat Levis terletak di San Francisco sebelum dihubungi individu yang juga pelelong jeans berkenaan.


"Saya menawarkan untuk membeli jeans itu dengan harga yang berpatutan bagi sehelai jeans yang berusia lebih daripada 100 tahun dan akhirnya dia bersetuju untuk menjualnya. Maksud harga yang bepatutan adalah harga yang diketahui umum bagi pengumpul barangan vintage seluruh dunia," katanya.


Ahmad Baihaki berkata, dia diberitahu jeans pertama Levis itu dengan kondisi terbaik milik seorang lelaki berasal dari Jerman dengan saiz 44. Seluar tersebut dipercayai ditemui cucunya dalam satu bekas kayu dan disebabkan itu kondisinya masih elok.


"Saya kira jeans yang saya miliki ini adalah yang tertua di dunia dengan kondisi terbaik. Saya dan rakan turut memiliki jeans model tahun 1922 yang dibeli di Jepun pada 2018, serta Jeans Nevada model pertama Levis berusia 1873 dibeli di Amerika" katanya.


Menceritakan lebih lanjut, Ahmad Baihaki berkata, pernah ditawarkan RM1 juta oleh pengumpul koleksi dari Jepun dan Thailand, untuk menjual jeans miliknya namun menolaknya mentah-mentah berikutan pakaian itu susah untuk diperoleh.


"Bukan tidak pentingkan duit, tetapi koleksi yang kami ada sangat unik, kemungkinan kalau jumpa koleksi sama saya akan lepaskan yang ini, siapa tahu. Perniagaan bundle juga satu pelaburan, tetapi membabitkan pakaian yang unik saja," katanya. - Sumber Harian Metro.


Ahmad Baihaki menunjukkan koleksi jeans berusia lebih 100 tahun yang dimilikinya.


EmoticonEmoticon