Ahad, 9 Mei 2021

Roket China Sudah Terhempas Di Lautan Hindi


Serpihan roket Long March 5B milik negara China yang berada 'di luar kawalan' dilapor telah jatuh di Lautan Hindi. Lokasi terhempas difahamkan di barat daya India dan Sri Lanka, perairan berhampiran Maldives kata jurucakap negara China.


Roket Long March 5B, yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang pada 29 April lalu, ditugaskan untuk membawa modul pertama stesen angkasa masa depan China ke orbit.


Ia kembali memasuki atmosfera pada jam 3.24 pagi waktu Britain, dengan sebahagian besar komponennya musnah ketika itu, roket berkenaan memasuki atmosfera bumi pada Ahad, hari ini, sebelum berkecai di lautan berkenaan.


"Selepas pemantauan dan analisis, pada 10.24 pagi (0224 Waktu Min Greenwich) pada 9 Mei 2021, serpihan besar Long March 5B Yao-2 sudah memasuki atmosfera," kata Agensi Kejuruteraan Angkasa Lepas China dalam kenyataan.


Agensi itu turut memberikan koordinat yang menjadi lokasi serpihan roket itu bertaburan. Menurutnya, kebanyakan daripada serpihan itu berkecai dan musnah ketika ia memasuki atmosfera bumi.


Perkhidmatan pemantauan, Space-Track, yang menggunakan data daripada Tentera Amerika Syarikat, juga mengesahkan kemasukan semula roket itu ke atmosfera bumi.


"Semua orang yang mengikuti kemasukan semula roket Long March 5B boleh relaks. Roket itu sudah jatuh," katanya menerusi Twitter.


Berita itu membuktikan jangkaan pakar sebelum ini bahawa serpihan roket berkenaan akan jatuh di lautan, memandangkan hampir 70 peratus bumi diliputi air. Bagaimanapun, kemasukan serpihan besar tanpa kawalan itu sebelum ini menimbulkan kebimbangan mengenai kerosakan atau kemalangan jiwa.


Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) dan Eropah antara yang memantau pergerakan roket itu dan cuba meramalkan masa dan lokasi dia terhempas. Setiausaha Pertahanan AS sebelum ini berkata, tentera AS tidak mempunyai rancangan untuk menembak jatuh roket itu.


Bagaimanapun, pihaknya beranggapan China cuai dalam membiarkan roket itu keluar dari orbit. Tahun lalu, serpihan daripada satu lagi roket Long March menimpa perkampungan di Ivory Coast, tetapi ia tidak menyebabkan kecederaan atau kemalangan jiwa.


"Kemasukan semula (terhempas) di laut adalah kebarangkalian besar yang selalu berlaku," kata ahli astronomi Harvard, Jonathan McDowell menerusi Twitter.


EmoticonEmoticon