Dinosaur telah pupus jutaan tahun dahulu dan kewujudannya hanya dapat dibuktikan melalui penemuan fosil. Terbaharu, ahli paleontologi mengenal pasti spesies dinosaur baharu hasil penemuan spesimen berusia 73 juta tahun di utara Mexico.
Menurut Institut Sejarah dan Antropologi Kebangsaan (INAH) negara itu pada Khamis lalu memaklumkan, penyelidik berpendapat keadaan di mana dinosaur itu ditemui menjelaskan bagaimana rangkanya terpelihara sehingga kini.
"Kira-kira 73 juta tahun lalu, dinosaur herbivor yang besar mati dengan badannya mendap dengan air dan penuh sedimen, yang memudahkan badan haiwan itu mudah ditutupi dan terpelihara selama berabad-abad," kata institut itu dalam satu kenyataan.
Menurutnya, penyelidik berpendapat dinosaur tersebut adalah daripada spesies herbivor yang hanya makan tumbuh-tumbuhan. Haiwan itu dipanggil Tlatolophus galorum. Ekornya ditemui pertama kali, di wilayah General Cepeda di utara Coahuila pada 2013.
Ketika penggalian berterusan, mereka akhirnya menemui 80 peratus tengkoraknya, tulang-tulang paha dan bahu, yang membolehkan penyelidik akhirnya menyedari tahun ini (2021) bahawa mereka memiliki spesies dinosaur baharu.
"Dinosaur ini memiliki telinga dengan kemampuan untuk mendengar suara frekuensi rendah, jadinya kemungkinan besar dinosaur ini yang tenang tetapi banyak bercakap (mengeluarkan bunyi)," kata kenyataan itu.
Ahli paleontologi juga percaya bahawa dinosaur itu mengeluarkan suara yang kuat untuk menakut-nakutkan pemangsa atau untuk tujuan pembiakan.
Menurut INAH, kajian ini masih di peringkat awal namun penyelidikan tersebut sudah diterbitkan dalam jurnal saintifik Cretaceous Research. Mereka menganggap ia adalah kes luar biasa dalam bidang paleontologi Mexico.
"Penemuan fosil berusia jutaan tahun ini adalah perkara yang sangat menggembirakan kami. Jika dilihat keadaan di mana ia ditemukan, ketika itu Coahuila adalah wilayah tropika.
"Nama Tlatolophus berasal daripada bahasa Nahuatl iaitu tlahtolli yang bermaksud kata atau pernyataan dan kata Greek lophus, yang bermaksud kepala," kata INAH.
Bentuk kepala binatang seperti yang dikatakan oleh INAH adalah simbol yang digunakan oleh orang Mesoamerika dalam manuskrip purba untuk menggambarkan tindakan komunikasi dan pengetahuan. - Sumber Everything Dinosaur.
EmoticonEmoticon