Seekor katak gergasi sebesar bayi manusia berjaya ditangkap selepas dilihat berkeliaran di sebuah kawasan perkampungan di Kepulauan Solomon. Penemuan katak gergasi itu turut mengejutkan penduduk yang tinggal di pinggir Honaira, ibu negara Kepulauan Solomon.
Lapor Daily Star, seorang pemilik kilang kayu, Jimmy Hugo menemui katak itu bulan lalu ketika sedang memburu babi liar di kawasan tersebut. Beberapa gambar yang dimuat naik di laman media sosial menunjukkan katak itu bertenggek atas lutut seorang penduduk bernama Mostin.
Sekeping lagi gambar menunjukkan seorang kanak-kanak sedang memegang katak tersebut yang dilihat hampir separuh besar badan budak tersebut. Perkongsian gambar-gambar tersebut di akaun Facebook miliknya itu telah menggemparkan netizen di akaun sosial media.
Dalam catatannya, Hugo berkata, reptilia yang dijumpai itu merupakan katak paling besar yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini. Katanya, katak berkenaan dikenali sebagai 'ayam belukar' dalam kalangan penduduk pulau tersebut.
"Penduduk menggelar reptilia itu sebagai ayam belukar kerana rasanya lebih sedap daripada ayam, namun sukar ditangkap," katanya.
Menurut pakar biologi, Patrick Pikacha, Katak yang ditemukan itu dipercayai merupakan spesies Cornufer guppyi, salah satu katak terbesar di dunia. Katak terbesar di dunia pula adalah Goliath Afrika, pernah ditemui di Cameroon berukuran 36 sentimeter panjang.
Jelas Dr Pikacha, katak di Pulau Solomon ini kini terancam akibat aktiviti pembalakan. Selain itu, bahan kimia yang dilepaskan ke dalam sungai turut mengakibatkan kematian amfibia tersebut.
Jelasnya lagi, walaupun katak yang dikongsi Hugo itu agak besar, dia pernah menemui saiz lebih besar daripada itu di Pulau Gatokae, salah satu pulau kecil di barat Pualau Solomon.
"Seekor katak yang pernah saya temui berukuran 30 sentimeter panjang, sepanjang sebuah pembaris panjang. Ketika itu katak berkenaan sedang makan seekor ulat jadi ia tidak cuba melarikan diri," katanya. Sumber: Daily Star, ABC News
EmoticonEmoticon