Sebanyak 215 rangka kanak-kanak ditemukan dalam kubur di sekitar sebuah bekas sekolah berasrama yang ditubuhkan lebih seabad lalu dalam usaha mengasimilasikan penduduk asli di Kanada.
Menurut suku Orang Asli tempatan, pakar menggunakan radar penembus tanah untuk mengesahkan rangka pelajar di sebuah sekolah berhampiran Kamloops, British Columbia.
Ketua suku kaum Orang Asli dikenali sebagai Tk'emlups te Secwepemc, Rosanne Casimir berkata, rangka itu dikenal pasti milik pelajar sekolah berkenaan.
"Sebilangan rangka membabitkan pelajar semuda usia tiga tahun, ini tragis dan benar-benar dahsyat" katanya dalam satu kenyataan, Khamis lalu.
Menganggap penemuan itu sebagai kehilangan yang tidak dapat dibayangkan dan tidak pernah didokumentasikan oleh pentadbir sekolah. Katanya, hasil penemuan awal itu akan dikeluarkan dalam laporan bulan depan.
Suku kaum Orang Asli itu kini bekerjasama dengan koroner dan muzium untuk membongkar lebih lanjut mengenai penemuan yang mengerikan itu bagi mencari jawapan sebenar. Siasatan itu dijangka turut membabitkan suku kaum Orang Asli yang lain di seluruh British Columbia dan kawasan sekitarnya.
Menteri Hubungan Adat -Orang Asli Kanada, Carolyn Bennett dalam Twitternya menyatakan komitmen kerajaan untuk membantu dan memberi sokongan kepada keluarga yang terkesan dalam tragedi itu.
Kamloops Indian Residential School adalah antara sekolah yang terbesar daripada 139 sekolah berasrama yang ditubuhkan pada akhir abad ke-19, dengan kira-kira 500 pelajar mendaftar dan bersekolah pada satu masa.
Ia dikendalikan oleh kerajaan Kanada dari tahun 1890 hingga 1969. Ketika ini, masyarakat Orang Asli negara itu dibelenggu kemiskinan, penagihan arak, keganasan rumah tangga serta kadar bunuh diri yang tinggi.
Suruhanjaya kebenaran dan perdamaian mengenal pasti nama sekurang-kurangnya 3,200 kanak-kanak yang mati akibat penderaan atau pengabaian ketika bersekolah di sekolah asrama. Bagaimanapun, jumlah sebenar belum diketahui.
Menurut kenyataan Tk'emlups te Secwepemc, pengetua di sekolah Kamloops pada 1910 menyatakan kebimbangan mengenai dana persekutuan tidak mampu menampung keperluan untuk perbelanjaan makan kepada pelajar di sekolah berkenaan.
EmoticonEmoticon