GUA MUSANG - Seorang lelaki maut dipercayai mengalami serangan jantung ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda CRV, menyebabkan kenderaannya terbabas sebelum merempuh pokok lalu terbalik, di Jalan Persiaran di sini, hari ini.
Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa yang tinggal di Taman Kesedar Petra dalam perjalanan ke Masjid Tengku Muhammad Fa-iz Petra, untuk menunaikan solat Subuh.
"Arwah papa ada mengadu sakit dada sejak pagi semalam tetapi enggan ke hospital untuk rawatan," kata Abdul Hazim Abd Halim, 24. Abdul Hazim adalah anak kepada pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) Abd Halim Ibrahim, 58, (mangsa).
Abdul Hazim berkata, ibu sudah melarang ayahnya supaya tidak menunaikan solat Subuh di masjid, namun arwah tetap berkeras untuk pergi.
"Arwah papa tidak pernah tinggal solat Subuh berjemaah di masjid itu dan mengagah diri memandu kereta seorang diri sebelum kejadian," katanya ketika ditemu di Bilik Forensik Hospital Gua Musang (HGM) di sini, hari ini.
Abdul Hazim berkata, sebelum ini arwah sihat, namun pada 6 pagi semalam dia memberitahu ibu rasa tidak sedap hati dan sakit di bahagian dada serta ingin berehat.
"Pagi ini sebelum ke masjid, sekali lagi papa mengadu sakit dada tetapi berkeras untuk ke masjid. Saya mendapat berita mengenai kejadian menimpa papa ketika berada di pejabat dan bergegas pulang, kami sekeluarga reda dengan pemergian papa pada 5 Syawal," katanya.
Sementara, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa memandu kenderaan seorang diri sebelum MPV dipandu terbabas ke kiri jalan dan hilang kawalan lalu melanggar pokok sebelum terbalik.
Beliau berkata, mangsa tidak mengalami kecederaan teruk, namun dipercayai meninggal akibat serangan jantung ketika memandu. Mayatnya di hantar ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.
EmoticonEmoticon