Lelaki bertindak 'pelik' apabila tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok sebelum jatuh dari tingkat 12 di flat di Jalan Loke Yew di Kuala Lumpur, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki mahu terjun dari tingkat atas blok berkenaan pada 2.08 petang.
"Siasatan awal dilakukan mendapati lelaki berusia 37 tahun berkenaan dilihat berlegar-legar di tingkat 12 blok berkenaan pada 1.50 tengah hari.
"Sebelum kejadian itu, terdapat seorang saksi menegur lelaki terbabit dan dia hanya tersenyum dan tiba-tiba bersenam lalu memanjat tembok.
"Beberapa orang awam yang berada di lokasi cuba memujuk lelaki berkenaan selama beberapa minit sebelum dia jatuh," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan lelaki itu mendapati terdapat beberapa kecederaan di kepala, bahu, tangan dan kakinya.
"Siasatan lanjut berhubung kejadian itu sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
EmoticonEmoticon