Wanita bernama Juana Maria, adalah salah seorang yang mempunyai sejarah kehidupan yang pelik di dunia, menyebabkan kisahnya diangkat dalam sebuah buku klasik bertajuk Island of The Blue Dolphins, yang ditulis oleh Scott O'Dell.
Juana Maria dilahirkan pada awal abad ke-19, tetapi tidak diketahui secara tepat tarikh dia dilahirkan. Dia menjadi terkenal kerana menghabiskan seluruh hidupnya sendirian terasing jauh dari masyarakat. Dia ditemui pada tahun 1853 selepas 18 tahun menjalani kehidupan seorang diri di pulau San Nicolas, salah satu kepulauan di California.
Masa hidupnya agak singkat hanya tujuh minggu selepas ditemui dia meninggal dunia kerana sakit. Sejarawan juga hanya dapat mengumpulkan beberapa fakta dan data mengenai kehidupan Juana, tetapi di sebalik semua itu ada kehidupan tragis yang dia jalani.
Sekumpulan pemburu menyerang perkampungan mereka antara tahun 1811-1814. Ketika itu, bulu dan kulit haiwan merupakan salah satu sumber semula jadi yang diperdagangkan antara penduduk pribumi di Amerika Utara dan penjajah Eropah.
Pada tahun 1811, syarikat Russian American Company mula melakukan aktiviti memburu di sepanjang pantai California kerana kulit haiwan itu mempunyai nilai yang tinggi. Pada peringkat awal, sekumpulan penduduk asli puak Kodiak dari Alaska seramai 25 hingga 30 orang telah diupah sebagai pemburu untuk ekspedisi ini.
Pada satu ketika semasa ekspedisi ini berlangsung, puak asli Kodiak telah ditinggalkan di Pulau San Nicolas secara berperingkat untuk memburu anjing laut. Walaupun pulau itu sedikit jauh dan terpencil daripada tanah besar di California, namun ia mempunyai penghuni asal.
Kaum Kodiak dikatakan mengalami konflik dengan penduduk pulau itu dan telah membunuh hampir semua kaum lelaki. Wanita dan kanak-kanak pula telah diambil menjadi hamba. Sejarah tidak menceritakan dengan jelas apa yang berlaku terhadap puak Kodiak selepas itu kerana mereka menghilang daripada pulau itu pada suatu ketika.
Malang bagi penduduk di Pulau San Nicolas, populasi mereka telah menurun secara drastik selepas berhadapan dengan puak Kodiak. Setelah puak Kodiak meninggalkan San Nicolas, dianggarkan kurang daripada seratus orang sahaja yang penduduk di Pulau itu.
Kemudian, pada tahun 1830-an suku Juana dipindahkan dari pulau San Nicolas oleh pemerintah setempat. Satu pasukan dikenali sebagai Santa Barbara Mission telah melakukan operasi pada tahun 1835 untuk membawa penduduk pulau itu ke tanah besar.
Operasi itu berjaya membawa keluar semua penduduk kecuali seorang, dia ialah Juana Maria. Mengikut satu versi cerita, Juana Maria telah menaiki kapal penyelamat itu namun menyedari bahawa anak kecilnya hilang.
Dia kemudian kembali ke kampungnya tetapi mendapati bahawa anaknya telah dibunuh oleh anjing liar. Disebabkan ribut yang sedang menghampiri, kapal itu terpaksa meninggalkan pulau itu dengan cepat.
Tidak semua orang percaya dengan versi popular cerita ini. Satu lagi versi menceritakan, disebabkan ribut menghampiri pulau itu, krew kapal tidak menghitung para penduduk yang diselamatkan dan mereka meninggalkan pulau itu dalam keadaan tergesa- gesa.
Akibatnya, Juana Maria telah menghabiskan 18 tahun hidupnya dengan tinggal seorang diri di pulau terpencil itu. Pada tahun 1853, seorang kapten kapal Peores Nada bernama George Nidever menemui Juana Maria. Dia kelihatan gembira apabila melihat Nidever serta anak-anak kapalnya dan bersedia untuk mengikuti mereka kembali ke tanah besar.
Di Santa Barbara, Juana Maria telah menjadi tumpuan dan dia telah didatangi ramai orang yang ingin melawatnya. Juana Maria kelihatan seronok dengan layanan yang diterimanya itu. Malangnya setelah tujuh minggu berada di tanah besar, Juana Maria telah meninggal dunia akibat disentri atau berak berdarah.
Sketsa, ketika Juana Maria ditemukan.
EmoticonEmoticon