Rabu, 5 Mei 2021

Ikan peliharaan kini boleh dibawa jalan-jalan dengan tercipta beg lutsinar Katsugyo


Ikan sering dijadikan haiwan peliharaan oleh sesetengah orang. Namun, berbeza dengan binatang peliharaan lain seperti anjing atau kucing yang dapat dibawa berjalan-jalan, ikan hanya dapat ditempatkan di kolam atau akuarium.


Agar pemilik dapat membawa ikan peliharaan mereka berjalan-jalan, sebuah syarikat di Jepun telah menghasilkan beg kelihatan seperti bekas yang boleh menyimpan ikan hidup bagi membolehkan haiwan peliharaan itu dibawa ke mana sahaja.


Dikenali dengan nama Katsugyo, bekas ikan mudah alih ini berbentuk seperti tiub panjang dengan bahagian tengahnya yang lutsinar. Lapor Oddity Central, bekas itu turut dilengkapi dengan pemegang serta sebuah alat pengukur bagi memantau tahap oksigen dalam air.   


Bekas ikan itu yang dibangunkan oleh syarikat Ma Corporation, menampilkan alternatif yang lebih elegan, cekap dan mesra alam berbanding cara tradisional penggunaan beg plastik berisi air. Ketika ini, Katsugyo masih dalam proses penghasilan.



Pereka beg tersebut sedang menguji inovasi itu dengan pelbagai jenis ikan termasuk yang boleh dimakan. Inovasi terbaharu itu berkembang dari semasa ke semasa dengan pelbagai fungsi ditambah baik seperti bahagian khas untuk memberi ikan makan.


Beberapa gambar dan video mengenai beg Katsugyo yang dimuat naik di laman media sosial sejak Oktober 2020 lalu, menjadi tular dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet bukan sahaja daripada penduduk Jepun, malah dari negara-negara lain.


Rata-rata pengguna laman media sosial menunjukkan minat terhadap beg itu dengan ada dalam kalangan mereka mahu mengetahui harga selain menyatakan sokongan terhadap projek tersebut.


Katsugyo boleh menyimpan ikan hidup dan dibawa ke mana sahaja. - Foto instagram katsugyo_bag

Katsugyo boleh menyimpan ikan hidup dan dibawa ke mana sahaja. - Foto instagram katsugyo_bag


EmoticonEmoticon