Selasa, 4 Mei 2021

Gua Wonderwerk, rumah tertua dihuni manusia purba sejak 2 juta tahun dahulu.


Sekumpulan ahli arkeologi berjaya menemui bukti bahawa Gua Wonderwerk di Gurun Kalahari, Afrika Selatan, merupakan rumah tertua dihuni manusia dalam sejarah. Menurut beberapa ahli arkeologi, rumah itu pernah dihuni manusia purba sejak dua juta tahun lalu.


Jurnal Quaternary Science Reviews dari pasukan Universiti Toronto, Kanada dan Universiti Hebrew Jerusalem mengesahkan usia rumah itu dengan menguji enapan dalam gua terbabit.


Pengarang utama jurnal itu, Profesor Ron Shaar berkata, menentukan usia gua itu dihuni manusia adalah tugas paling mencabar pasukan arkeologi berkenaan. Pasukan menganalisis lapisan enapan setebal 2.5 meter yang mengandungi batuan dan sisa haiwan dengan menggunakan dua kaedah, paleomagnetisme dan 'burial dating'.


"Kami dengan berhati-hati mengambil ratusan sampel enapan yang berukuran sangat kecil dari dinding gua dan mengukur isyarat magnetiknya. Analisis makmal kami menunjukkan beberapa magnet sampel terarah ke Selatan bukan ke Utara. Ini memberi petunjuk usia keseluruhan lapisan dalam gua itu," katanya.


Pasukan penyelidik turut menemui beberapa tinggalan yang digunakan manusia zaman purba seperti kapak tangan batu serta sisa abu dan tulang hangus. Ia membuktikan manusia purba yang menghuni gua itu sudah menggunakan api sekitar satu juta tahun lalu seperti disiarkan jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences pada 2012.



Tapak bersejarah dalam Gua Wonderwerk ditemui beberapa petani sekitar tahun 1940-an. Sejak itu penggalian dilakukan untuk mengungkap misteri kewujudan manusia dalam gua sekitar dua juta tahun lalu.


Pengarah bersama projek Gua Wonderwerk, Michael Chazan dari University of Toronto dan Liora Kolska Horwitz dari Koleksi Sejarah Alam Nasional Universiti Ibrani menjelaskan bahawa penemuan di Wonderwerk adalah langkah penting dalam memahami tempoh evolusi manusia di seluruh dunia .


"Dengan skala waktu yang ditetapkan untuk Gua Wonderwerk, kita dapat terus mempelajari hubungan antara evolusi manusia dan perubahan iklim, dan evolusi cara hidup nenek moyang awal manusia kita," kata Chazan. - Sumber CNN Indonesia.





EmoticonEmoticon