WASHINGTON - Dua saudara tiri Afrika-Amerika yang menghabiskan masa 31 tahun dalam penjara di Carolina Utara atas hukuman jenayah yang tidak dilakukan diberi pampasan sebanyak AS$84 juta (RM346.67 juta), kata peguam mewakili mereka, semalam.
Des Horgan berkata, ia adalah keputusan terbesar pernah dibuat juri ekoran pemenjaraan salah di Amerika Syarikat (AS). Ketika itu, kedua-dua tertuduh berusia 19 dan 15 tahun dan mengaku dipaksa untuk menandatangani pengakuan.
Henry Lee McCollum dan adik tirinya, Leon Brown, kedua-duanya cacat akal, disabitkan atas kesalahan merogol dan membunuh Sabrina Buie, seorang gadis berusia 11 tahun, pada 1983, yang mayatnya ditemui di ladang soya di Robeson County.
Sabitan mereka dibatalkan pada 2014 selepas penemuan bukti DNA menunjukkan lelaki lain di lokasi mayat gadis itu ditemui. Ia selepas penemuan puntung rokok berhampiran mayat mangsa masa kejadian. Lelaki tersebut pernah menjalani penjara atas jenayah yang sama.
McCollum dan Brown memfailkan kes hak sivil persekutuan dan juri, Jumaat lalu, menganugerahkan AS$84 juta (RM346.67 juta) sebagai ganti rugi, ganti rugi punitif dan faedah.
"Juri berpesan, masa lalu yang mengabaikan hak orang miskin dan perbezaan warna kulit yang terpinggir di daerah luar bandar, sudah lenyap. Mereka gembira kerana menang, mereka gembira kerana juri kata polis itu salah. Mereka dilepas dan dibebaskan," kata Hogan.
EmoticonEmoticon