Jumaat, 21 Mei 2021

Badan lelaki hancur, kereta meletup kenderaan berhampiran turut terbakar


Seorang lelaki maut dalam keadaan tragik dengan hancur anggota badan selepas kereta dipandunya meletup dipercayai dipanah petir dalam kejadian di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu, petang hari ini.


Kejadian jam 5.38 petang itu menyebabkan kenderaan jenis Proton Iswara yang dipandu mangsa rentung dan terputus dua. Lima kenderaan lain yang berada berhampiran di lokasi kejadian turut terbakar susulan letupan berkenaan.


Difahamkan, sepasukan anggota bomba dan penyelamat yang berada di lokasi kejadian turut menemui serpihan mercun di lokasi berkenaan. Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu ketika dihubungi berkata, seorang mangsa meninggal dunia dalam kejadian berkenaan.


"Ketika kejadian terdapat lima kenderaan di lokasi berhampiran yang turut terbakar. Cermin masjid di lokasi berkenaan juga pecah akibat letupan kenderaan itu," katanya.



Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, tidak menolak kemungkinan kereta yang meletup dipercayai dipanah petir turut membawa mercun bola, letupan itu menyebabkan mangsa yang maut tercampak sejauh 20 meter dari lokasi kejadian.


Bagaimanapun, katanya, identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan. Empat lagi mangsa yang berada dalam kenderaan berlainan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.




EmoticonEmoticon