Isnin, 5 April 2021

Terusan terpanjang di dunia kutip tol berjuta sehari


Terusan Suez, yang terletak di Mesir, adalah antara terusan buatan manusia terpanjang di dunia menghubungkan Laut Mediterranean dengan Teluk Suez, cabang Laut Merah. Ia dibuka secara rasmi pada November 1869.


Kini, terusan Suez ini dimiliki Mesir yang mengendalikan sekitar 10 peratus perdagangan maritim antarabangsa. Ia merupakan salah satu laluan air tersibuk di dunia yang menyediakan penghubung penting untuk penghantaran minyak, gas asli dan kargo antara Lautan Atlantik dan Lautan Pasifik.


Ketika dibuka lebih 150 tahun yang lalu, terusan itu sepanjang 164 kilometer (km) dan kedalaman lapan meter (26 kaki), tetapi setelah beberapa penambahbaikan sepanjang tahun, kini panjangnya ialah 193km dan kedalaman 24 meter (78 kaki).


Selama beratus tahun Terusan Suez telah menjadi salah satu daripada sumber pendapatan utama dalam mata wang asing untuk kerajaan Mesir. Secara purata, 50 kapal melalui Terusan Suez setiap hari.



Menurut Suez Canal Authority (SCA), hampir 19,000 kapal, dengan jumlah berat muatan kargo 1.17 juta tan melewati terusan pada tahun 2020. Ia merupakan satu rekod iaitu muatan kargo kedua tertinggi dalam sejarah terusan itu.


Bayaran tol yang dikenakan untuk melalui Terusan Suez bergantung kepada jenis dan saiz kapal selain berat kargo. Kebiasaannya bayaran tol boleh melebihi AS$100,000 (RM414,650).


Sebilangan besar minyak yang diangkut melalui laut melalui Terusan Suez yang merupakan persimpangan terpantas antara Lautan Atlantik dan Lautan Hindi tetapi menuntut tol yang besar.


Perjalanan antara pelabuhan di negara Teluk dan London, United Kingdom misalnya, dikurangkan kira-kira separuh dengan melalui Suez dibandingkan dengan laluan alternatif di sekitar hujung selatan Afrika.


Sebilangan besar kargo yang bergerak dari negara Teluk ke Eropah Barat adalah minyak. Barangan dan bijirin yang dihasilkan juga sering melalui terusan antara Eropah dan Amerika Utara dan Asia.




EmoticonEmoticon