Selasa, 20 April 2021

Teori Kewujudan Beratus Lukisan Aneh 'Gergasi' Di Gurun Nazca, Dikaitkan Dengan Makhluk Asing


Ratusan tahun berlalu, zaman mula berubah melewati masa dan perkembangan kemajuan teknologi menyebabkan kapal terbang mula dicipta. Ketika itu, sebuah pesawat komersial terbang tinggi melintasi gurun Nazca, sekitar 1920-an, juruterbang dan penumpang yang menoleh ke bawah tergamam melihat pelbagai lakaran imej aneh yang tertera di gurun.


Sebelum itu, selama ratusan tahun, misteri kewujudan banyak lukisan aneh yang teramat besar di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru, dipercayai menjadi rahsia yang tidak disedari sesiapa, walaupun lakaran berkenaan sentiasa berada di bawah tapak kaki penduduk asli yang menghuni kawasan berkenaan.


Lukisan yang amat besar sehingga mencapai ratusan meter panjang itu tidak mungkin disedari sesiapa meskipun seseorang itu berjalan di atasnya. Bentuknya hanya jelas kelihatan dari udara, itupun dari lokasi yang amat tinggi.


Sebaik melihat puluhan objek misteri berbentuk haiwan dan tumbuhan itu, juruterbang dan penumpang berasa hairan dan fikiran masing-masing dipenuhi pelbagai teka-teki. Lukisan apakah ini? Siapa yang melakar lukisan yang amat besar ini dan apa tujuannya? 



Sejak itu, kewujudan lukisan misteri itu terbongkar secara meluas, penyelidik dan ahli arkeologi mula memenuhi Gurun Nazca. Ratusan pesawat berterbangan di atas kawasan itu semata-mata mahu melihat dan mengkaji misteri kewujudan lukisan aneh berkenaan.


Semakin lama, semakin banyak lukisan gergasi yang ditemui di kawasan yang amat luas iaitu sejauh lebih 57 kilometer. Sehingga kini, ratusan imej dan garisan gergasi ditemui, antaranya imej gergasi monyet, burung, pokok, geometri dan jasad makhluk aneh. Lukisan terbesar dilukis dengan panjang lebih 200 meter.


Berdasarkan penemuan artifak arkeologi sekitar kawasan itu, penyelidik mendapati terdapat kaum tertentu menetap di kawasan itu kira-kira 1,300 tahun lalu iaitu sekitar 200 Sebelum Masihi (SM) hingga tahun 700 Masihi.


Akan tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kaum terbabit yang bertanggungjawab menghasilkan lukisan itu atau lakaran objek aneh terbabit sudah dilukis pihak lain sebelum kewujudan penempatan purba berkenaan.


Proses pembinaannya adalah dengan menoreh permukaan tanah batuan keras berwarna gelap di gurun sehingga tanah yang berwarna lebih terang terlihat dan membentuk objek. Bagaimanapun, misteri yang paling membingungkan penyelidik dan ramai pihak adalah siapa yang melukis lukisan berkenaan dan apakah tujuannya?



Tanpa Jawapan Yang Pasti, Pelbagai Teori Dikemukakan


Paling menarik adalah teori fiksyen yang mengatakan lukisan aneh Nazca dibina makhluk asing sebagai tapak pendaratan objek terbang tidak dikenali (UFO) pada zaman purba. Dengan teknologi futuristik canggih makhluk asing, tidak mustahil mereka mampu melukis ratusan lukisan gergasi itu.


Melewati masa, makhluk asing meninggalkan tapak pendaratan itu dan kawasan berkenaan dihuni manusia. Akan tetapi, disebabkan ia hanya dapat dilihat dari udara, pihak yang menghuni kawasan itu tidak menyedari wujudnya lukisan gergasi itu sehinggalah pesawat moden dicipta.


Teori lain dikaitkan dengan upacara keagamaan, lukisan gergasi itu juga berkemungkinan dibina sebagai upacara ritual keagamaan penduduk purba dalam menyembah 'dewa'. Penduduk purba Nazca berkemungkinan melakarkan imej gergasi itu kononnya supaya ia dapat dilihat 'dewa' dari langit.


Mungkin juga 'dewa' yang disembah penduduk purba berkenaan sebenarnya adalah makhluk asing. Pada tahun 1985, ahli arkeologi, Johan Reinhard, menerbitkan data kajiannya mengenai amalan memuja 'kuasa ghaib' di gunung dan sumber air yang wujud dalam budaya masyarakat purba Nazca dengan tujuan tanaman menjadi subur, imej gergasi itu dihasilkan untuk tujuan pemujaan berkenaan.


Teori lain mengatakan penghasilan lukisan gergasi berkenaan sebenarnya berkait rapat dengan kedudukan bintang sekali gus memperlihatkan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan lakaran itu sudah mengkaji ilmu kaji bintang sejak zaman purba.


Ahli arkeologi dan Matematik Jerman, Maria Reiche percaya garisan pada lukisan Nazca mewakili kalender matahari dan perubahan struktur astronomi langit.


Sehingga kini, jawapan sebenar kepada tujuan penghasilan lukisan gergasi Nazca masih terus diperdebatkan dengan pelbagai teori berlainan sehingga menyebabkan jawapan sebenar mengenai enigma berkenaan masih kekal sebagai misteri. Rujukan: The GuardianCNN Travel


Lebuhraya Pan-Amerika yang melalui menara tinggi Nazca, berdekatan lukisan garis berbentuk pokok dan lukisan garis berbentuk tangan.

Lukisan gergasi aneh di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru hanya terbongkar secara meluas apabila pesawat terbang mula dicipta dan diterbangkan.

Lukisan gergasi aneh di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru hanya terbongkar secara meluas apabila pesawat terbang mula dicipta dan diterbangkan.

Lukisan gergasi aneh di dataran Gurun Nazca di selatan Lima, Peru hanya terbongkar secara meluas apabila pesawat terbang mula dicipta dan diterbangkan.


EmoticonEmoticon