Mexico terkenal dengan banyak bangunan bersejarah dan terusan menghubungkan beberapa penempatan menarik. Antaranya Pulau Anak Patung yang terletak di antara terusan Xochimico sebuah daerah yang terletak 17 kilometer dari Mexico City.
Pada 1987, Xochimilco diisytiharkan Tapak Warisan Dunia UNESCO, sekali gus menarik jutaan pelancong dari seluruh dunia ke daerah itu. Namun, keterujaan pelancong mungkin bertukar menjadi perasaan seram sekiranya mereka melawat sebuah pulau dikenali sebagai Pulau Anak Patung.
Pulau terpencil 'Isla de las Munecas' atau lebih dikenali dengan nama Pulau Anak Patung terletak di satu kawasan berpaya ini dianggap berhantu, pasti membuatkan pengunjung berasa seram sejuk apabila melihat ribuan anak patung digantung pada pokok, diikat dan dipaku pada dinding pondok buruk.
Seakan berlakunya satu sumpahan atau sihir apabila anak-anak patung ini terbiar begitu sahaja dengan dibasahi hujan dan terik cahaya matahari. Dahulunya tempat ini adalah sebuah pulau dikelilingi terusan yang dipenuhi pokok teratai yang berwarna-warni.
Setiap sudut di pulau ini kelihatan anak-anak patung digantung pada pokok. Keadaannya yang menyeramkan, menyaksikannya satu kawasan yang tidak mahu dikunjungi orang ramai, tetapi kini selepas kematian pemiliknya, Don Julian Santana Barrera mula menjadi salah satu kemestian lokasi untuk dilawati.
Kisah Kewujudan Ratusan Anak Patung
Menurut lagenda tempatan, Barrera menemui seorang gadis kecil tenggelam dalam keadaan misteri di celah-celah pokok teratai, dan dia amat kecewa kerana tidak dapat menyelamatkan nyawanya. Tidak lama selepas itu, beliau menemui anak patung terapung berhampiran terusan yang pada pendapatnya berkemungkinan milik gadis itu.
Sejak peristiwa itu, Barrera mendakwa dia sering diganggu oleh suara jeritan dan bayangan kanak-kanak itu. Oleh kerana tidak tahan dengan gangguan tersebut, dia kemudiannya mengambil keputusan menggantung anak patung tersebut di dahan pokok bagi menghormati semangat kanak-kanak itu.
Barrera mula mengumpul anak patung yang dibeli dan dikutipnya dari pekan berhampiran meletakkan di pulau tersebut. Dia menghabiskan masa selama 50 tahun sehingga akhir hayatnya dengan menggantung, mengikat dan memaku kira-kira 1,500 anak patung termasuk ada beberapa bahagian tubuh yang sudah hilang dipercayai dapat menenangkan semangat gadis yang lemas berkenaan.
Tangan mereka yang terputus, kepala yang dipenggal, dan mata kosong menghiasi pokok. Selepas 50 tahun mengumpul anak patung dan menggantungnya di pulau itu, Barrera ditemui mati lemas pada tahun 2001 di tempat yang sama di mana dia menemui gadis malang itu.
Ramai orang di pulau itu percaya bahawa Barrera menyertai roh lain di pulau itu. Tempat itu menjadi popular selepas produser filem Mexico, Emilio Fernández menjadikannya lokasi filem María Candelaria yang dibintangi Dolores del Río dan Pedro Armendáriz.
Sejak itu, banyak artikel mengenai Pulau Anak Patung disiarkan di akhbar dan media. Jurugambar profesional Cindy Vasko yang melawat pulau itu pada 2015, menyifatkannya sebagai 'tempat yang paling dahsyat yang pernah dikunjungi'.
Begitu juga, penduduk setempat menggambarkannya sebagai 'terpesona dan berhantu', seakan-akan boneka yang tergantung berbisik dengan pengunjung. Ditambah pula, apabila kita melihat anak-anak patung berkenaan seolah-olah matanya memandang tepat ke arah pengunjung. Ada mengatakan anak patung menggerakkan kepala dan lengan mereka, bahkan membuka mata mereka.
Sesetengah saksi mendakwa mereka seperti mendengar anak-anak patung berbisik antara satu sama lain, manakala mereka yang berada di dalam bot memberitahu anak patung itu menarik mereka untuk turun ke pulau berkenaan.
Kini, tempat ini menjadi tarikan pelancong, sebagai tanda sokongan pengunjung membawa banyak anak patung untuk digantung di situ. Pulau ini boleh dikunjungi dengan menaiki bot. Rujukan: BH Online, mstar.
EmoticonEmoticon