KEPALA BATAS - Teruja selepas ditawarkan pertolongan mencari sebidang tanah oleh wanita yang dikenalinya dalam alam maya, menyebabkan seorang petani berputih mata apabila wang simpanan RM10,000 hilang sekelip mata.
Mangsa berusia 61 tahun berkenalan dengan seorang wanita melalui laman sosial Facebook bulan lalu sebelum mereka menjadikan aplikasi Messenger sebagai kaedah berkomunikasi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek wanita menawarkan untuk mencari sebidang tanah yang kononnya akan dijadikan projek pertanian berasaskan pelbagai tanaman dari luar negara.
"Beberapa minggu kemudian, suspek menyatakan mahu menghantar barangan kepada mangsa yang mengandungi pelbagai benih tanaman.
"Mangsa yang teruja tidak menyedari muslihat suspek sehingga dia dihubungi ejen syarikat kurier yang memintanya membuat bayaran pelepasan cukai bagi memudahkan proses penghantaran benih tanaman.
"Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa membuat dua transaksi pembayaran kepada dua akaun bank seperti yang diarahkan menggunakan wang simpanan persaraan sewaktu bekerja di sebuah syarikat cari gali minyak berjumlah RM9,890," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, mangsa sedar dirinya menjadi mangsa penipuan selepas diminta melakukan bayaran tambahan, sebelum membuat laporan polis semalam.
Noorzainy berkata, siasatan mendapati mangsa terjerat dengan penipuan sindiket Parcel Scam, dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
EmoticonEmoticon