Barang 'rare' atau klasik memiliki nilai sentimental terutama bagi pengumpul barangan lama. Pada mereka yang usia sudah mencecah 50 tahun ke atas berpeluang menggamit nostalgia mengenainya yang menceritakan pelbagai kisah suka duka.
Bagi generasi muda, mereka bertuah kerana masih berpeluang menimba pengalaman memenuhi kotak minda selain memperkaya perbendaharaan ilmu dengan menjana pengetahuan baharu.
Baru-baru ini, Hisham Zainal, 50, yang menetap di Desa Mas di Rawang telah memuat naik gambar di Facebook (FB), sebuah kereta mainan usang namun ia menarik minat netizen. Katanya, ia masih menyimpan kereta mainan antik berusia hampir separuh abad peninggalan arwah bapanya, Zainal Othman.
Malah, kereta mainan itu masih berfungsi dan ibarat warisan turun temurun kerana pernah digunakannya dan tiga anaknya ketika kecil. Kereta mainan itu menyimpan 1001 nostalgia dan menggamit memori dengan arwah bapanya terutama ketika zaman kanak-kanak.
Disebabkan itu, Hisham berat hati untuk melepaskan kereta mainan berkenaan ke tangan orang lain walaupun ramai berminat membelinya.
"Sejak saya memuat naik gambar di FB Rabu lalu, ada lapan orang menghantar mesej untuk bertanya sama ada saya menjual atau tidak kereta mainan itu kerana berminat membelinya.
"Mereka terdiri daripada individu perseorangan dan penjual barangan antik tetapi saya terpaksa tolak dengan baik kerana belum ada perancangan menjualnya buat masa ini.
"Terkejut juga apabila ada yang berminat membeli dan banyak komen diterima pada gambar dimuat naik kerana niat saya sekadar berkongsi kenangan bersama arwah abah," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mengimbas kenangan lalu, Hisham berkata, arwah bapanya membeli kereta mainan itu di Teluk Intan, Perak dengan harga RM7 pada 1974 dan asalnya berwarna merah tetapi kini bertukar biru disebabkan faktor usia.
Menurut Hisham, selepas berumah tangga dengan isteri, Wan Zuraini Wan Mahmud, 45 pada 2001, kereta mainan itu diserahkan kepadanya dan terus menjadi simpanannya sehingga kini.
"Sebelum adik lahir, saya menjadi anak tunggal selama lapan tahun dan sepanjang tempoh itu, banyak kenangan dengan arwah emak (Iniy Karmin) dan abah. Satunya daripadanya kereta mainan itu yang menjadi permainan saya ketika kecil.
"Selepas berkahwin, emak berikan kepada anak saya iaitu cucu sulungnya dan sejak itu, saya menjadi pemilik kereta mainan berkenaan," katanya.
Menurutnya, memandangkan ketiga-tiga anaknya sudah dewasa jadi kereta mainan itu tidak digunakan lagi dan hanya disimpan di dalam stor. Warnanya sudah pudar dan bahagian badan pula berkarat tetapi masih boleh digunakan walaupun tidak canggih seperti kereta mainan sekarang.
"Saya bercadang mencantikkan semula dengan penyembur warna dan kemungkinan menjualnya dalam tiga tahun lagi iaitu ketika usianya mencecah 50 tahun, itu pun jika ada yang berminat membelinya.
"Jika tiada, saya akan terus menyimpannya kerana bagi saya, kereta mainan itu mempunyai nilai sentimental tinggi malah membuatkan saya teringat kepada arwah emak dan setiap kali melihatnya," katanya.
EmoticonEmoticon