Selasa, 6 April 2021

'Menantuku, anak kandungku' ibu sebak, anaknya yang hilang 20 tahun lepas ditemui semula


BEIJING - Majlis perkahwinan pasangan pengantin bertukar drama dan dipenuhi linangan air mata apabila bakal ibu mertua mendapati pengantin perempuan itu adalah anak kandungnya yang terpisah sejak 20 tahun lalu.


Kejadian tersebut bermula, apabila wanita ini ternampak tanda lahir pada tangan pengantin perempuan yang dipercayai sama dengan tanda lahir anaknya yang pernah hilang sejak 20 tahun lalu, ketika hadir di majlis perkahwinan berkenaan yang berlangsung di wilayah Jiangsu,


Media tempatan melaporkan, selepas terlihat tanda lahir itu, wanita itu telah bertanya kepada ibu pengantin perempuan adakah gadis itu merupakan anak kandung mereka atau sebaliknya.


Tindakan wanita terbabit mengejutkan ibu bapa pengantin perempuan kerana ia adalah rahsia keluarga berkenaan sejak sekian lama. Walapun mereka terkejut dengan soalan yang diajukan, keluarga gadis itu telah tampil menceritakan perkara sebenar.


Mereka mengakui bahawa bakal pengantin perempuan adalah anak angkat yang dibesarkan sejak bayi selepas menemuinya di tepi jalan. Pengantin perempuan nyata gagal menahan air mata kerana dia sememangnya mahu mengetahui mengenai keluarga kandungnya sejak sekian lama.


Dia (pengantin perempuan) menyifatkan detik berkenaan adalah lebih indah daripada hari perkahwinannya sendiri. Tatkala majlis perkahwinan dijadualkan berlangsung itu nyaris dihentikan kerana bimbang berlaku perkahwinan antara saudara kandung, satu lagi rahsia dibongkarkan keluarga pengantin lelaki.


Mereka mendedahkan bahawa pengantin lelaki juga adalah anak angkat keluarga berkenaan. Majlis perkahwinan itu kemudiannya diteruskan seperti dirancang. Oriental Daily melaporkan, wanita terbabit mengambil anak angkat lelaki selepas usaha mencari anak perempuannya yang hilang gagal. Sumber: Oriental Daily


Pengantin perempuan gagal menahan sebak selepas bertemu semula dengan ibu kandungnya ketika majlis perkahwinannya.


EmoticonEmoticon