Jumaat, 2 April 2021

Lilitan kapten dibuang Ronaldo dilelong RM312,000


BELGRADE - Lilitan kapten yang dibuang Cristiano Ronaldo di atas padang selepas berang gol kemenangannya untuk Portugal pada lewat permainan tidak dikira ketika bertemu Serbia, telah dilelong untuk tujuan kebajikan.


Lilitan kapten itu dijual pada lelongan online dengan harga 64,000 euro (RM312,000) kepada seorang pembeli yang tidak dinyatakan.


Berbaki beberapa saat ketika kelayakan Piala Dunia 2022 berkedudukan 2-2 di Belgrade, Ronaldo merasakan dia sudah menjaringkan gol penting perlawanan apabila bola tampak sudah melepasi garisan tetapi dikeluarkan Stefan Mitrovic.


Tapi tanpa bantuan teknologi video, gol berkenaan dinafikan pengadil. Ronaldo yang marah dilayangkan kad kuning kerana membantah dan selepas wisel penamat, ketika dia keluar dari padang, dia membuang lilitan kapten berkenaan.


Djordje Vukicevic, anggota bomba yang dihantar ke stadium, mengambilnya dan segera menghubungi saluran sukan tempatan dengan idea untuk melelongnya bagi tujuan kebajikan.


"Dia membuang lilitan kapten itu tiga meter dari saya dan kemudian timbul idea bahawa ia boleh memberi peluang yang baik. Saya mendapati kami boleh melakukan sesuatu yang baik untuk Gavrilo," katanya.


Vukicevic memberitahu AFP Selasa lalu dia bercadang untuk memungut derma bagi rawatan seorang bayi berusia enam bulan, Gavrilo Djurdjevic yang mengalami penyakit ganjil.


Selepas saluran sukan Sportklub mengesahkan ketulenan barangan itu dengan melihat rakaman video dan foto perlawanan, mereka bekerjasama dengan organisasi kebajikan bagi melelong lilitan kapten Ronaldo menerusi laman sesawang Limundo.com.


Cristiano Ronaldo menjerit kepada pembantu pengadil selepas jaringannya ditolak ketika aksi kelayakan Piala Dunia menentang Serbia di Belgrade, kelmarin. Keputusan berakhir 2-2. - Foto EPA.


EmoticonEmoticon