Tidak semua menyukai kehidupan di bandar yang boleh dikatakan agak 'bising' berbanding di kampung atau kawasan terpencil yang lebih senyap dan tenang. Tapi adakah tempat yang sunyi terjamin tiada gangguan?
Jika anda rasakan mendirikan rumah di kawasan bukit atau kawasan pendalaman sudah cukup sunyi, anda silap. Di bahagian pantai selatan Iceland, terdapat pulau kecil disebut Ellidaey menjadi terkenal kerana terdapat sebuah rumah yang terletak diatas pulau, tanpa jiran atau pekan berdekatan.
Sebuah kediaman berwarna putih itu dikatakan sebagai rumah paling sunyi di dunia. Rumah itu dikatakan tidak berpenghuni sejak tahun 1930-an dan pelbagai khabar angin, teori serta spekulasi dikaitkan dengannya selepas tersebarnya gambar kediaman berkenaan di Internet.
Menurut laporan Oddity Central, misteri kewujudan rumah berwarna putih yang terletak di tengah bukit dikelilingi lautan itu menimbulkan pelbagai teori, antara dakwaan itu termasuklah kisah kononnya rumah itu dibina oleh seorang peniaga eksentrik sebagai tempat perlindungan zombie selain desas desus mengatakan ia milik seorang fanatik agama.
Ada juga yang mengatakan, rumah ini dibina pada tahun 1930-an oleh lima keluarga yang tinggal secara kekal di pulau itu, bertahan dengan pemburuan burung dan memancing. Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai keluarga ini, tetapi mereka pasti tidak suka berinteraksi dengan orang luar.
Penyanyi Iceland, Bjork pada satu ketika dulu pernah dikhabarkan memiliki tempat percutian itu dan berunding dengan pihak berkuasa untuk membeli pulau berkenaan, namun beliau menafikan dakwaan itu.
Pada tahun 2000 ketika perdana menteri kontemporari Islandia David Oddsson, menyebut dalam salah satu ucapannya di depan umum bahawa dia akan membiarkan Bjork hidup bebas di pulau itu. Walaupun begitu, penyanyi terkenal itu tidak pernah membeli pulau itu, atau rumah di dalamnya.
Seperti yang dilaporkan beberapa media, bangunan itu sebenarnya hanya pondok berburu yang dibina pada tahun 1950 oleh Persatuan Pemburuan Ellidaey, yang menjadi tempat persinggahan ahlinya ketika datang memburu puffin iaitu sejenis burung laut di pulau berkenaan. Sumber: Harian Metro
EmoticonEmoticon