Gambar Hiasan (Foto wattpad.com)
Naga adalah haiwan yang sering dikaitkan dengan cerita fantasi. Namun, naga juga dikatakan sebagai sejenis legenda haiwan dan dituduh telah wujud lama di bumi ini. Misteri kewujudan naga sebagai makhluk mistik bersaiz besar yang memiliki kuasa sakti sememangnya mencetuskan fenomena membingungkan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.
Hal ini disebabkan jasad makhluk mistik itu masih gagal ditemui di mana-mana pelosok dunia tetapi kisah legenda membabitkan naga wujud dan diceritakan dalam budaya pelbagai bangsa di seluruh dunia.
Ahli paleontologi dan kajian sejarah belum menemui bukti bahawa naga pernah menghuni bumi. Setakat ini, fosil dinosaur yang ditemui pada zaman dahulu sering dijumpai. Mungkin dinosaur itu disalah anggap sebagai naga oleh manusia pada masa itu.
Ada juga penyelidik yang berpandangan naga mungkin spesies haiwan purba yang hidup sezaman dengan dinosaur tetapi sudah pupus. Teori itu dikemukakan berdasarkan gambaran naga dalam legenda Barat, yang memiliki fizikal menyamai dinosaur.
Tasik Chini - Foto Libur
Misteri Kewujudan Naga Tasik Chini
Di Malaysia, legenda naga terkenal pastinya Naga Seri Gumum yang didakwa mendiami Tasik Chini di Pekan, Pahang. Kisah ini wujud dalam mitos kepercayaan masyarakat negara ini. Kewujudan naga dalam tasik kedua terbesar di Malaysia itu tercetus berdasarkan dakwaan penduduk yang terserempak makhluk berkenaan.
Antara cerita yang kerap disebarkan kononnya berlaku pada tahun 1986 apabila seorang lelaki ingin menangkap ikan mendapati dua 'ular besar' terlekat pada jaringnya. Ular itu dibunuh dan ketika pulang ke pangkalan, lelaki terbabit melihat tiga bahagian badan naga besar muncul di permukaan air.
Akibat membunuh ular besar itu, lelaki terbabit kononnya terkena bala sehingga menyebabkan badannya gatal dan berkudis selama 13 tahun. Sejak itu, beberapa lagi penduduk terutama Orang Asli Tasik Chini mendakwa terserempak naga di tasik itu yang digambarkan seperti ular tetapi kepalanya sebesar kepala lembu dan lilitan badannya sebesar tayar motosikal.
Sekitar tahun 70-an dan 80-an, jelmaan kedua-dua ekor naga dapat dilihat di kawasan tasik terutamanya ketika musim banjir. Kepercayaan ini dikuatkan lagi dengan cerita seorang pelancong England yang pergi menyelam di kawasan jeti.
Sebaik sahaja tiba di dasar tasik, dia ternampak pagar batu. Pelancong tersebut kemudian menyusuri pagar batu itu sehingga terjumpa pintu pagar utama. Di sebalik pintu utama pula, dia ternampak sepasang mata berwarna merah dan dengan pantasnya beliau naik keatas kembali. Kejadian itu mengakibatkan beliau tidak bercakap selama seminggu.
Misteri membabitkan naga sememangnya membingungkan kerana selain Malaysia, cerita membabitkan makhluk itu turut wujud di banyak negara lain sekali gus membuktikan ia bukan sekadar kepercayaan atau mitos bangsa tertentu saja.
Malah, seperti juga budaya sesuatu kaum pribumi yang berbeza dari satu benua ke benua lain, ciri dan gambaran naga juga berlainan mengikut legenda setempat. Terdapat lebih 30 jenis naga yang berbeza fizikal dan peranan dalam pelbagai legenda dan kebudayaan di seluruh dunia.
Antara perbezaan fizikal naga mengikut bangsa adalah masyarakat Cina cenderung mengatakan ia memiliki badan ular, muka seakan kuda, tanduk seperti rusa, kuku helang, sisik ikan dan mampu terbang. Masyarakat Barat pula menggambarkan naga menyerupai dinosaur tetapi memiliki kepak untuk terbang.
Kebanyakan naga digambarkan sebagai reptilia dan menetas daripada telur. Di Thailand pula, terdapat ukiran naga berbentuk ular tetapi memiliki tujuh kepala, manakala naga di Vietnam menggabungkan imej buaya, ular, biawak dan burung.
Selain jasad fizikal menggerunkan, naga juga diceritakan memiliki kuasa mistik yang belum ditemui pada mana-mana haiwan dalam katalog biologi dunia. Berdasarkan kisah legenda, naga dikatakan mampu mengeluarkan semburan api untuk merentungkan apa saja.
Naga juga mampu terbang pantas, manakala sesetengahnya menyelam dalam air. Ada juga kisah naga menyimpan mutiara di mulutnya dan mutiara itu kononnya menghasilkan kuasa sakti untuk memberikan pelbagai kelebihan kepada sesiapa yang memperolehnya. Dalam usaha merungkai misteri naga, beberapa teori dikemukakan antaranya ada pihak percaya makhluk itu berasal daripada alam mistik.
Sekitar tahun 300 Sebelum Masihi (SM), satu rangka aneh ditemui di Wucheng, Wilayah Sichuan di China dan ahli sejarah purba China, Chang Qu, mencatatkan rangka itu diyakininya sebagai rangka naga. Bagaimanapun, ada penyelidik yang mengkaji sejarah penemuan itu yakin rangka itu sebenarnya fosil dinosaur dan bukannya naga.
EmoticonEmoticon