Rabu, 14 April 2021

Kapal 'gergasi' Ever Given diarah bayar ganti rugi RM3.715 bilion


Kapal Ever Given seberat 200,000 tan tersekat secara melintang di terusan sempit tetapi menjadi nadi perdagangan global itu pada 23 Mac lalu sekali gus mencetuskan usaha besar-besaran selama enam hari untuk mengapungkannya.


Syarikat data maritim, Lloyd’s List memberitahu, kapal panjang lebih daripada empat padang bola sepak itu menyebabkan kargo bernilai AS$9.6 bilion (RM39.6 bilion) antara Asia dan Eropah terkandas pada setiap hari insiden tersebut berlarutan.


Mesir juga kerugian hasil antara AS$12 juta (RM49.5 juta) hingga AS$15 juta (RM61.9 juta) pada setiap hari apabila laluan air tersebut ditutup. Mahkamah di Mesir memerintahkan kapal kontena Ever Given untuk ditahan.


Ia sehingga kapal itu membayar AS$900 juta (RM3.715 bilion) kepada Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) sebagai bayaran ganti rugi, menurut Sputnik yang memetik laporan akhbar Shorouk News.



Penahanan sementara itu dipohon oleh SCA dalam saman difailkan di sebuah mahkamah ekonomi negara itu. Pihak berkuasa berkenaan meminta supaya kapal itu supaya tidak dibenarkan untuk belayar selagi tidak melunaskan semua bayaran untuk penyelenggaraan dan kerja untuk membolehkan ia diapungkan semula, ganti rugi untuk kehilangan trafik.


Ia perlu dibayar dalam tempoh 60 hari sejak Ever Given menyebabkan gangguan trafik di terusan berkenaan. Kapal dengan bendera Panama itu kini diletakkan di bawah penyeliaan mahkamah, selari dengan Artikel 6 undang-undang Mesir untuk perdagangan maritim, sehingga pengendalinya memenuhi tuntutan SCA itu.


Pada insiden berkenaan, pergerakan trafik di Terusan Suez terhalang pada 23 Mac selepas ia melintang di tengah-tengah terusan berkenaan. Hanya pada 29 Mac, kapal milik Jepun tetapi dikendalikan syarikat pengangkutan Taiwan itu dapat diapungkan semula.


Susulan kejadian, semua 422 kapal yang sebelum ini tersadai akibat insiden itu kemudian dapat melalui terusan pada 3 April. SCA mendakwa kesan kerosakan pada terusan itu berjumlah AS$1 bilion (kira-kira RM4.12 bilion). - AFP



EmoticonEmoticon